Kes Watson akan ke mahkamah, siasatan lengkap – Pesuruhjaya Polis Sarawak

KUCHING: Polis telah menyiapkan siasatan berhubung kes penghinaan mendiang bapa Watson Nyambek, dan tertuduh dijangka akan dibawa ke mahkamah dalam tempoh terdekat.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor berkata, kertas siasatan pihaknya telah lengkap dan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Kita percaya berdasarkan bukti-bukti yang ada, kes ini akan segera dituduh di mahkamah pada kadar segera,” katanya ketika ditemui semalam.

Kes ini  katanya, kini sedang dinilai oleh Jabatan Peguam Negara dan disiapkan untuk proses pendakwaan.

Kes ini menjadi besar apabila stesen TV3 menyiarkan program parodi Sukan Tak Sentral yang mempersenda nama bapa Watson umpama kambing.

Rancangan parodi ini menampilkan pengacara Azizul Ammar, Marsha Milan Landoh dan Mark Adam.

Watson kemudian membalas dalam muat naik status facebooknya setelah menonton video yang menjadi tular itu.

“Orang hina saya miskin, bankrap, tak ada apa… saya terima.

“Nak ketawakan saya…apa boleh buat,nasib kita macam tu.

“Tetapi bapa saya bukan ‘binatang’ untuk dipersendakan,” tulisnya terkilan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. – Sarawakvoice