Kerjasama politik kukuhkan pembangkang, kata Nik Abduh

KUALA LUMPUR: Pemimpin Pas berkata tahaluf siyasi atau kerjasama politik telah  mengukuhkan barisan pembangkang sebagai pendesak yang sedikit banyak berjaya memaksa pihak kerajaan untuk memulihkan demokrasi dan urus tadbir kerajaan daripada penipuan, rasuah, pemborosan dan pelbagai lagi gejala buruk dalam negara dan kehidupan rakyat.

“Hari ini, hasil tindakan dan usaha Pas yang begitu terbuka mengadakan kerjasama dengan rakan dan saingan politiknya, landskap politik negara begitu berubah dan menuju kemajuan,”  kata Ahli Parlimen Kota Bharu, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz.

“Minda rakyat berjaya digerakkan untuk lebih prihatin dan bertanggung jawab bagi memastikan politik dan pemerintahan yang lebih adil dan telus,” jelasnya.

Beliau berkata, rakyat semakin sedar dengan kesilapan dan kecacatan dulu dan telah bersedia untuk mendukung perubahan.

Semua itu, katanya lagi ialah hasil daripada kesepakatan dan kesetiaan untuk saling melaksanakan agenda bersama yang disepakati.

“Walaupun berbeza, perbezaan itu diraikan melalui kesepakatan untuk saling meraikan perbezaan. Ia bermaksud mengerah segala tenaga untuk mendukung agenda bersama yang disepakati,” katanya.

Manakala agenda masing-masing yang tidak disepakati hendaklah dibiarkan menjadi perjuangan masing-masing yang diusahakan secara bersendiri dan ia tidak boleh menjadi penghalang yang akan membantut kebersamaan dalam memperjuangkan agenda yang disepakati.

Itulah, katanya, maksud ‘bersetuju untuk tidak bersetuju.’

“Ia bukan sekadar kata yang mudah. Ia lafaz setia yang menagih usaha dan kota janji,” katanya.

“Usaha untuk saling memahami hendaklah dilakukan agar perbezaan dapat dikurangkan dan diredakan melalui perbincangan, dialog dan pertemuaan sesama rakan tahaluf yang terbukti mampu memecahkan kebuntuan dan kesukaran,” ujarnya lagi.

Menurut bekas Ketua Pemuda Pas itu,  musuh tahaluf siyasi ialah pengkhianatan. “Setiap muslim diajar untuk tetap di atas janji yang dimeterai dan mestilah mengikat dirinya di atas perjanjian itu walaupun kadang kala tidak menyebelahinya. Ia ibarat nafas dan nadi yang menghidupkan agama Islam,” katanya.

Ujarnya, Pas dalam tahaluf siyasinya hari ini mestilah memastikan dua perkara berjalan serentak.

“Pertama, ia mestilah setia pada janjinya terhadap rakan-rakan tahaluf. Bahkan Pas mestilah menjadi seperti askar yang mempertahankan kesetiaan bersama. Ia penting bagi memastikan matlamat mencapai keuntungan dan manfaat bersama tercapai,” katanya.

“Kedua, Pas mestilah memastikan ia tidak dikhianati oleh rakan-rakan tahaluf. Ia juga penting agar tidak rugi,” katanya.

Pas beberapa hari lalu memutuskan kerjasama politik dengan PKR. – Sarawakvoice