Kereta Viva dan Kancil bertembung di Batu Kitang, dua cedera

KUCHING: Seorang lelaki dan seorang wanita cedera selepas kenderaan Perodua Viva yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta Perodua Kancil di Jalan Batu Kitang, dekat sini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 7.13 malam dan sebuah jentera dan ambulans EMRS dikejarkan ke lokasi.

“Tiba di lokasi 21 minit kemudian, pasukan mendapati kedua-dua kenderaan dalam keadaan remuk.

“Kedua-dua mangsa di dalam Perodua Viva yang cedera bagaimanapun telah diselamatkan oleh orang awam sebelum bomba tiba dan diserahkan kepada pasukan paramedik EMRS untuk dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak.

Pemandu kenderaan Perodua Kancil bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya lagi.

Kes telah diserahkan kepada pihak trafik untuk tindakan lanjut. – Sarawakvoice