Kerajaan Johor mahu komuniti Sarawak berdiri teguh bersamanya bawa pembangunan

JOHOR BAHRU: Komuniti Sarawak di negeri ini diseru agar terus teguh dan bersatu hati dalam mendukung segala usaha kerajaan untuk membawa Johor  bergerak maju ke hadapan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia merupakan satu-satunya cara bagi kerajaan negeri memastikan kelangsungan pembangunan Johor dan negara, dapat terus dinikmati pada masa mendatang.

“Saya percaya kehidupan anda juga selesa dan menikmati pelbagai prasarana yang telah disediakan oleh kerajaan negeri, dan kini tibalah masanya untuk anda semua menyatakan sokongan kepada Johor,” katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian dalam ucapan pada majlis sambutan Pra-Gawai Dayak 2017 peringkat negeri Johor bersama Ketua Menteri Sarawak anjuran Persatuan Borneo Johor di tapak Pasar Borneo di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Md. Jais Sarday.

Mohamed Khaled berkata setakat ini, dianggarkan 40,000 anak Sarawak menetap di Johor susulan keputusan mereka untuk bekerja di sini.

Menurutnya, sepanjang keberadaan mereka di sini, komuniti itu telah banyak membantu secara langsung usaha memperkasakan pembangunan.

Berikutan mempunyai komuniti yang besar, Persatuan Borneo Johor juga telah diwujudkan bagi memastikan kebajikan anggota-anggota  dijaga, selain menjadi perantara kepada hubungan mesra antara Johor dan Sarawak.

“Sehingga hari ini, seramai 65 peniaga terdiri daripada suku kaum Dayak-Iban, Melayu, Cina dan India berniaga di Pasar Borneo,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata beliau berterima kasih kepada kerajaan Johor yang sentiasa prihatin akan kebajikan anak Sarawak dengan menyediakan pelbagai peluang kepada mereka.

Katanya, berikutan usaha itu, beliau mahu rakyat Sarawak di sini terus bergaul dengan lebih rapat bersama penduduk setempat bagi melahirkan semangat permuafakatan.

Pada masa sama, beliau juga memuji penubuhan Pasar Borneo yang disifatkan dapat mempromosikan Sarawak dari segi makanan dan kraftangannya.

Pada majlis itu, Abang Johari menyampaikan replika cek berjumlah RM50,000 kepada Pengerusi Persatuan Borneo  Johor Donny Lian untuk kegunaan persatuan.

Turut hadir ialah dua Timbalan Ketua Menteri Sarawak  iaitu Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Datuk Amar Douglas Unggah Embas; Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani. Bernama