Jururawat perlu perlengkap diri hadapi tugas yang kian kompleks

LIMBANG: Para jururawat diingatkan agar melengkapkan diri dengan pengetahuan, kemahiran serta komitmen dalam menggalas skop tugas yang kian meluas dan kompleks ketika ini.

Pegawai Kesihatan Bahagian , Pejabat Kesihatan Bahagian Limbang, Dr. Norliza Jusoh berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Jururawat Hospital Limbang di sini.

Menurut Dr. Norliza, jururawat merupakan kerjaya yang dinamik dan sentiasa berkembang seiring dengan perkembangan teknologi serta keperluan perkhidmatan kesihatan semasa.

Sehubungan dengan itu jururawat perlu melatih diri supaya kuat dari segi mental dan fizikal serta memperkasakan tahap ketahanan diri dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

Para jururawat juga jelasnya perlu bijak mendidik masyarakat melakukan perubahan ke arah gaya hidup lebih sihat demi kesejahteraan bersama.

Upacara Sambutan tersebut berlangsung meriah di Hospital Limbang dengan turut diserikan oleh gimik perasmian iaitu sesi memotong kek Hari Jururawat 2017.

Aturcara sambutan pada hari itu turut diisi dengan sesi bacaan ikrar jururawat, pertandingan mewarna kanak-kanak dan sukaneka. – Sarawakvoice

Ceria……..jururawat Limbang semasa sambutan Hari Jururawat

Dr Norliza sewaktu merasmikan sambutan Hari Jururawat Hospital Limbang