BN boleh menang jika saingan 3 penjuru – Dr Mahathir

PETALING JAYA: Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui pertandingan 3 atau 4 penjuru antara parti utama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan memberi kemenangan kepada BN.

Bekas perdana menteri itu berkata, parti pembangkang yang bekerjasama di bawah Pakatan Harapan berkemungkinan besar menang jika pilihan raya hanya membabitkan mereka dan BN.

Bagaimanapun, katanya, ada parti lain yang kononnya akan menurunkan calon untuk melawan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan BN.

“Kesannya ialah pengundi yang berhasrat mengalahkan Najib akan berpecah 2 atau 3.

“Penyokong Najib, kerana sebab-sebab tertentu akan bersatu mengundi BN. Najib akan menang kerana berpecahnya undi pembangkang.

“Dengan perkataan lain, parti-parti yang memecahkan pengundi penentang sehingga pertandingan menjadi 3 atau 4 penjuru, sebenarnya menyokong BN dan Najib,” tulisnya dalam blognya semalam.

Beliau menyifatkan tindakan parti itu sebagai mengkhianati usaha menjatuhkan Najib dan menghentikan kerosakan kepada negara.

“Najib akan teruskan cara pentadbiran yang umum tahu,” katanya.

Walaupun Dr Mahathir tidak menamakan mana-mana parti, ia difahamkan beliau merujuk PAS.

Khamis lalu, PAS menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR selepas Majlis Syura Ulamanya meluluskan usul dikemukakan di Muktamar PAS ke-63 pada 30 April lalu.

Pada 12 Februari lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menutup pintu kerjasama dengan PPBM dengan alasan parti Islam itu tidak akan bekerjasama dengan parti yang mempunyai hubungan dengan DAP dan Amanah.

Dr Mahathir juga mendakwa pemimpin Pakatan Harapan merancang mengambil alih negara pada PRU14 mempunyai rekod tanpa jenayah atau penyalahgunaan kuasa.

Beliau berkata, mereka mempunyai keupayaan dan pengalaman untuk menguruskan sebuah kerajaan baru jika BN digantikan.

“Kerajaan yang bercadang mengganti Najib ialah kerajaan parti campuran pembangkang yang akan dipimpin pemimpin-pemimpin yang mahir dalam politik dan dibantu dengan mereka yang berpengalaman dalam pentadbiran negara.

“Mereka tidak ada rekod jenayah atau menyalah guna kuasa. Mereka terpelajar dan pernah menjadi anggota kerajaan.”

Pakatan Harapan ditubuhkan DAP, Amanah dan PKR pada September 2015, dengan PPBM secara rasmi menjadi parti komponen ke-4 pada Mac lalu. – Sarawakvoice