Belia disaran untuk sama-sama pelihara adat dan budaya

KUALA PILAH: Masyarakat khususnya belia disaran untuk memelihara adat dan budaya yang diwarisi daripada generasi terdahulu agar ia tidak luput ditelan zaman, kata Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata peranan memelihara adat dan budaya tidak seharusnya diletakkan di bahu kerajaan serta agensi kebudayaan semata-mata, sebaliknya masyarakat perlu bersama-sama memelihara adat warisan itu.

“Kita perlu pastikan adat pepatih yang diamalkan oleh masyarakat negeri ini sama ada yang ketara seperti seni bina rumah Minangkabau atau yang tidak ketara iaitu budaya dan seni tarian, dipertahankan.

“Justeru, tanggungjawab itu perlulah dipikul bersama-sama malah agensi bukan kerajaan dan persatuan kebudayaan turut diseru untuk memainkan peranan masing-masing,” katanya semasa berucap di majlis perasmian Program Warisan Budaya Seni@Nogoghi di Laman Bangkinang, dekat sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Tan Sri Norliza Rofli, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Norhayati Omar serta Pengerusi Lembaga Pelancongan negeri, Datuk Mohd Razi Kail.

Program Warisan Budaya Seni@Nogoghi yang dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan dengan kerjasama Lembaga Pelancongan negeri itu, menampilkan keaslian identiti warisan budaya Negeri Sembilan.

Pelbagai acara menarik diadakan termasuk gotong-royong kenduri adat, pertandingan permainan tradisional, demonstrasi makanan tradisional serta sesi pertanyaan bersama Tok Adat.

Menampilkan tema ‘Moh jongok lehulur kito’, program berkenaan berlangsung selama dua hari sejak semalam. Bernama