17 anggota polis di Sarawak meninggal setiap tahun, fokus kini tertumpu kepada kecergasan – Pesuruhjaya Polis Sarawak

KUCHING: Secara purata, seramai 17 pegawai dan anggota polis di Sarawak meninggal dunia kerana pelbagai penyakit sejak 10 tahun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor berkata, seramai 184 kematian dalam perkhidmatan direkodkan oleh kontijen itu sejak tahun 2007.

“Ia disebabkan oleh pelbagai penyakit seperti darah tinggi, jantung dan sebagainya.

“Pada masa yang sama, ia juga berpunca daripada tekanan kerja.

Kerana itu katanya, pasukannya kini sedang berusaha memastikan para pegawai dan anggotanya kekal cergas dan kompeten, dengan mewujudkan elemen pengurusan stres dan program “trim and fit”.

“Ini salah satu daripada kesedaran kita. Kita mahu ia dilaksanakan secara berterusan, baik secara berkumpulan, individu mahupun secara organisasi,” katanya ketika melancarkan Program Trim and Fit PDRM Sarawak di Tebingan Kuching semalam.

Jelasnya, penting untuk pasukan polis mengekalkan tahap kesihatan paling tinggi untuk melaksanakan tugasnya.

“Mereka seharusnya berada di barisan hadapan, dan fizikal obesiti akan menyulitkan tindakan mereka dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang,” katanya.

Ketika ini kata Mazlan, seramai 129 pegawai dan anggota atau 13 peratus daripada keseluruhan pasukan polis di negeri ini berhadapan masalah obesiti.

“Kerana itu kita mahu mereka mengubah situasi ini.

Kata Mazlan, gagal menangani masalah obesiti akan menjejaskan karier setiap pegawai dan anggota terlibat.

“Andai tidak ada ketrampilan, maka mereka tidak ada dalam zon kenaikan pangkat,” tegasnya lagi.

Mazlan berkata, ketika ini imej pasukan adalah perkara yang paling mustahak.

“Kita sebagai barisan hadapan yang melaksanakan pencegahan jenayah …
kerana itu kita akan tampilkan mereka yang berketrampilan,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice