Zon Perdagangan Bebas Digital mula operasi Oktober – Najib

BEIJING: Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) akan memulakan operasinya pada awal Oktober ini, iaitu 6 bulan selepas dilancarkan menggunakan platform e-dagang Alibaba iCloud.

Sebagai permulaan, sebanyak 1,500 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai produk sesuai akan dipilih Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Sdn Bhd untuk menyertai dagangan rentas sempadan secara dalam talian itu.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada wartawan Malaysia sejurus tiba dari Hangzhou yang menyaksikan beliau bertemu Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group, Jack Ma serta mendengar taklimat berhubung operasi Alibaba, gergasi e-dagang terbesar China.

Sebaik bermulanya operasi itu, DFTZ bakal menjadi zon bebas digital pertama seumpamanya di luar China bagi merancakkan pertumbuhan e-dagang rentas sempadan dengan mewujudkan akses kepada hab di bandar Hangzhou untuk menembusi pasaran di China.

Perdana menteri berkata, hab e-penunaian serantau itu akan diwujudkan di Malaysia pada Oktober ini dengan pihak Alibaba menempatkan Alibaba iCloud untuk platform Data Raya bagi rantau Asia Tenggara.

Najib turut mempelawa Ma yang juga penasihat ekonomi digital kepada kerajaan Malaysia, untuk menghadiri majlis pelancaran hab DFTZ berkenaan.

Perdana menteri juga berkongsi reaksi Ma yang melahirkan rasa kagum terhadap kepantasan serta komitmen kerajaan Malaysia dalam membuat keputusan bagi merealisasikan DFTZ.

Biarpun DFTZ baru dilancarkan 3 bulan lepas, inisiatif tersebut sudah mula dibincangkan serta hanya mengambil masa 6 bulan untuk memulakan operasinya pada Oktober ini.

“Beliau amat positif terhadap Malaysia dan sering mengulangi beliau mendapat persetujuan saya dalam masa 10 minit mengenai DFTZ.

“Saya juga komited untuk menjadikannya satu realiti dalam masa 3 bulan dan itulah yang telah kita lakukan,” katanya.

Malah, Najib berkata, Ma juga menyifatkan kerajaan Malaysia sebagai “kerajaan amat cekap”.

“Ini merupakan satu testimoni yang baik membabitkan penilaian terhadap keupayaan kerajaan Malaysia yang amat responsif serta mesra perniagaan,” katanya.

Jelas perdana menteri, DFTZ dilancarkan dengan pelbagai insentif bagi membantu pengusaha kecil mengembangkan pasaran produk mereka, terutama ke pasaran China.

Selain itu, ketika di Hangzhou, Najib turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara MDEC dengan Pihak Berkuasa Tempatan Hangzhou serta Alibaba (China) Company Limited melibatkan kerjasama mengenai platform e-dagang sepertimana Platform Dagangan Elektronik Dunia (eWTP).

Platform eWTP adalah cetusan idea Ma dan Alibaba untuk mengurangkan sekatan dagangan bagi memudahkan penglibatan PKS dalam dagangan global.

Mengulas iCloud Alibaba, Najib berkata, antara lokasi yang dipertimbangkan bagi menempatkan kemudahan itu ialah di Cyberjaya.

“Potensi (DFTZ) terlalu luas dan tiada batasannya. Sebaik sahaja kerjasama ini dapat kita gerakkan, ada terlalu banyak yang dapat kita manfaatkan menerusi Alibaba,” katanya.

Perdana menteri juga menyampaikan pensijilan status Koridor Raya Multimedia (MSC) oleh MDEC kepada Alibaba Cloud.

Beliau berkata, antara matlamat kerajaan mewujudkan DFTZ adalah untuk memajukan PKS bagi mendapat perniagaan dalam talian, khususnya ke China.

Menurut perdana menteri, peluang dagangan dengan China amat besar dan syarikat di Malaysia semakin mendapat banyak permintaan, termasuk usaha pengeksportan durian ke negara tembok besar itu.

Malah, hasil kerjasama dengan Alibaba juga dapat merancakkan industri pelancongan negara bagi menarik lebih ramai pelancong dari China.

“Pada tahun lepas misalnya, kita sudah mencapai peningkatan ketara melebihi 21%, iaitu 2.1 juta pelancong dari China dan bagi tahun ini, sasaran kita lebih kurang 3 juta pelancong China ke Malaysia,” katanya.

Najib berkata, daripada angka tahun lepas itu, lebih 200,000 tempahan untuk melawat Malaysia dibuat menerusi platform Alibaba. Bernama