Tindakan pecat Adun Pujut dari DUN Sarawak tepat — Wan Junaidi

KUCHING: Bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menegaskan bahawa tindakan yang diambil oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak dengan melucutkan keanggotaan Adun Pujut, Dr Ting Tiong Choon kerana dwikewarganegaraan adalah tepat dan wajar.

Menurutnya, tindakan bersejarah dan pertama kali di Malaysia itu dilakukan mengikut lunas perlembagaan dan hak keistimewaan yang ada pada Dewan Undangan Negeri.

“Kalau pada waktu itu dia pernah menjadi, atau telah menjadi warganegara asing, sama ada dia masih sebagai warganegara Malaysia, dan telah menjadi warganegara asing, hakikatnya dia telah tidak lagi menjadi warganegara Malaysia.

“Oleh itu dia tidak layak bertanding pada ketika itu.

“Sepatutnya kalau fakta ini diketahui pada ketika itu, dia tidak boleh dipertandingkan,” katanya hari ini.

Menurutnya, berlandaskan hak keistimewaan dewan yang beratus tahun diwarisi dan diguna pakai di England, wujud kes yang hampir serupa.

“Di bawah satu kes bernama (Charles) Bradlaugh, yang mana seseorang itu walaupun telah dipilih oleh rakyat, menjadi wakil rakyat, tetapi kalau dewan itu ragu-ragu kepadanya untuk memasuki dewan, dan dewan boleh mengeluarkan dia dan tidak membenarkan dia mengambil tempat dalam dewan.

“Dan dengan sendirinya, keahliannya akan terjatuh,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Surau Nurul Hidayah di sini hari ini.

Surau berharga RM600 ribu itu siap dibina pada tahun 2015.

Bagaimanapun katanya, atas prinsip demokrasi, Tiong Choon masih boleh mencabar keputusan tersebut di mahkamah.

“Jika mahkamah mendapati keputusan itu tertakluk kepada kuasa keistimewaan dewan, maka mereka tidak boleh membuat penghakiman kerana di luar bidang kuasanya, berlandaskan konsep pengasingan kuasa,” tambahnya lagi.

Esok Parti Tindakan Demokratik (DAP) dijadual mengadakan sidang media khas di pejabatnya di Padungan.

Dijangkakan mereka akan membuat pengumuman akan tindakan selanjutnya yang akan diambil berhubung perkara tersebut. – Sarawakvoice