Polis tunggu keputusan SPR berhubung kes Dun Pujut: Mazlan

KUCHING: Polis Sarawak akan menunggu keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung situasi di Dewan Undangan Negeri Pujut sebelum mengatur gerak anggota untuk mengawasi pilihan raya yang dijangka berlaku.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor berkata, ketika ini pihaknya masih memantau rapi perkembangan isu yang menyebabkan Adun Pujut, Dr Ting Tiong Choon hilang kelayakan sebagai anggota Dewan Undangan Negeri, setelah usulnya dibentang dan diluluskan oleh dewan tersebut, semalam.

“Kita menunggulah apa-apa keputusan yang dibuat oleh SPR.

“Pihak polis akan bersiap sedia untuk sebarang tindakan-tindakan yang perlu diambil selepas ini,” katanya ketika ditemui pada program ‘Trim And Fit Mega PDRM’ di Tebingan Kuching, hari ini.

Katanya, ketika ini masih terlalu awal untuk polis merancang pergerakan anggota ke Pujut, yang terletak di bandar raya Miri.

Berhubung kemungkinan berlakunya protes dan bantahan di luar DUN oleh penyokong Parti Tindakan Demokratik (DAP) semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak bersambung pada Isnin ini, Mazlan memberi amaran akan mengambil tindakan tegas.

“Kita akan mengambil tindakan sekiranya ada pihak yang melanggar undang-undang di luar DUN. Saya ulangi, kita akan ambil tindakan,” katanya lagi.

Dewan Undangan Negeri Sarawak semalam meluluskan usul kementerian oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-dagang, Datuk Sri Wong Soon Koh untuk menggugurkan kelayakan Adun Pujut, Tiong Choon atas alasan beliau memiliki dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Australia, selain pernah diisytihar muflis sebanyak dua kali.

Tiong Choon, kalah menerusi undian 70-10, menyebabkan Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar mengumumkan beliau gugur sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Sebagai reaksi kepada keputusan tersebut, pimpinan DAP dikatakan akan membawa kes ini ke mahkamah. – Sarawakvoice