Pilihan raya kecil di Pujut dalam 60 hari

Dr Awang Azman Awang Pawi

Dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri Pujut memiliki dua kewarganegaraan bukanlah cerita baharu. Pada tahun lepas, calon Bebas bagi kerusi Pujut  Fong Pau Teck pernah mempersoalkan  status kewarganegaraan Dr Ting Tiong Choon yang bertanding mewakili Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Fong juga sering berkempen  pada  tahun lepas mendakwa Dr Ting  lebih banyak berada  di luar negeri  kerana  sudah lama bermastautin di Australia. Dikatakan sudah menjangkau selama 27 tahun di luar negeri.

Di sinilah teori status warganegara tercipta dengan andaian  apabila  memperbaharui status pemastautinnya  pada setiap lima tahun sekali, maka layak mendapat status warganegara Australia. Hal ini termaktub di bawah undang-undang Australia.

Hal ini  menimbulkan persepsi kononnya, Dr Ting memiliki status  dua kewarganegaraan, iaitu Malaysia dan Australia.

Undang-undang Malaysia menegah mana-mana calon bertanding dalam  pilihan raya sekiranya mempunyai status kewarganegaraan asing.  Pengundi juga tidak boleh mengundi apabila mempunyai status sedemikian.  Namun, undang-undang Australia pula keterbalikan.

Melalui kempen PRN tahun lepas calon Bebas  yang pernah bertanding  di bawah tiket DAP itu juga mempersoalkan komitmen  untuk membangunkan  Pujut kerana sudah lama berada di luar negeri.

Kempen  seumpamanya hingga ada dakwaan kononnya Dr Ting membuat deklarasi palsu berhubung status kewarganegaraannya.

Kempen Politik Bertalu-talu

Kempen  bertalu-talu terus mencapai tahap kemuncak apabila calon langsung BN di DUN Pujut, Datuk Hii King Chong  memfailkan petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi Miri. Tujuannya adalah untuk  memohon  agar membatalkan keputusan kerusi Pujut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 7 Mei tahun lepas.

Pada PRN lepas Dr Ting  berjaya  memperoleh majoriti 1,759 undi, selepas meraih 8,899 undi apabila menewaskan Hii King Chong yang memperoleh 7,140 undi manakala calon Bebas pula hanya memperoleh 375 undi dan calon Pas, Jofri Jaraiee mendapat 513 undi.

Keputusan Mahkamah

Petisyen  tersebut pertama kali difailkan selepas PRN Sarawak ke-11  tahun lepas. Perkara ini berdasarkan Seksyen 16 dan 17(g) Perlembagaan Negeri Sarawak, bahawa  seseorang Adun akan hilang kelayakan sekiranya  seseorang itu secara sukarela memperoleh kewarganegaraan negara lain. Maka Dr Ting didakwa  tidak layak menjadi Adun atas kapasiti mempunyai dua kewarganegaraan. Terdapat juga dakwaan bahawa kononnya Dr Ting tidak pula memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya berkenaan statusnya sebagai rakyat Australia.

Yang menariknya petisyen yang dibuat oleh King Chong  hasil lanjutan dakwaan tersebut tidak sah ialah  memohon mahkamah  mengisytiharkan keputusan PRN11  untuk kerusi DUN Pujut sebagai terbatal dan tidak sah.  Justeru, perlu isytiharkan beliau sebagai pemenang dengan hujah dan  alasan bahawa beliau mendapat undi kedua tertinggi. Satu lagi pilihan dipohon kepada mahkamah adalah meminta agar perlu  diadakan pilihan raya kecil. Penyertaan calon DAP perlu ditiadakan.

Namun, mahkamah menolak kes itu atas alasan teknikal. Justeru, keputusan mahkamah ini sewajarnya dihormati semua pihak  kerana mahkamah yang dilihat lebih autoriti  dalam membuat  tafsiran undang-undang.

Usul Pelucutan di DUN

Namun nasib Dr Ting terus diasak  meskipun telah menang dalam PRN lepas. Dalam DUN semalam Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh (BN – Bawang Assan) mendakwa Ting memiliki dua kewarganegaraan.  Usul ini kemudian diluluskan DUN.  Seterusnya  terdapat 70  ahli DUN menyokong pelucutan  manakala 10 yang lain yang terdiri daripada parti pembangkang menentang.

Isu ini perlu dilihat dari beberapa aspek. Secara umum apabila merujuk perkara 17 (1) (g) Perlembagaan Sarawak yang menyatakan bahawa mana-mana orang yang dengan sukarela memperoleh kewarganegaraan asing atau menikmati hak-hak kerakyatan asing akan hilang kelayakan sebagai seorang Adun. Dari segi ini Dr Wong Soon Koh telah menggunakan artikel ini untuk melucutkan keanggotaaan Dr Ting Tiong Choon dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan usul itu diluluskan oleh lebih separuh daripada ahli DUN.

Secara rasionalnya pilihan raya kecil negeri Sarawak akan diadakan selepas pelucutan ini.

Tangkisan Balas

Dr Ting Tiong Choon dijangka akan menggunakan saluran undang-undang untuk membatalkan keputusan  DUN tersebut. Hal ini kerana beliau berpendirian telah melepaskan kerakyatan Australia apabila direkrut oleh Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) dan kembali ke Malaysia. Jadi, tidak timbul isu dua kerakyatan.

Isu ini perlu ditangani dengan teliti kerana mungkin terdapat wakil rakyat lain mengalami situasi yang sama seperti Dr Ting Tiong Choon.

Kalau perkara ini terbukti, maka ini merupakan kes pertama kali berlaku dalam sejarah Malaysia. Hal ini akan membawa pilihan raya kecil Pujut dalam tempoh 60 hari untuk memilih wakil  rakyat baru Pujut.

Namun, ini bergantung kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dalam menentukan tarikh dan  bergantung juga kepada situasi   dan hanya dilangsungkan sekiranya tanpa  injuksi terhadap pilihan raya kecil dilakukan oleh pihak parti DAP. – Sarawakvoice