Pemulihan harga minyak mentah: Saham Malaysia dalam trend meningkat minggu depan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka meningkat minggu depan dengan paras halangan seterusnya pada 1,800 mata berikutan pemulihan harga minyak mentah dan minyak sawit mentah (MSM).

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, eksport MSM dijangka meningkat dan ini akan menawarkan peluang baik untuk pelabur.

“Selain itu, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) yang telah berkembang 4.6 peratus tahun ke tahun pada Mac 2017 juga agak kukuh dan posisitf untuk sektor pembuatan.

“Ini akan menggalakkan pertumbuhan kukuh eksport dan pada masa sama membawa kenaikan harga komoditi dan penggunaan lebih baik,” katanya kepada Bernama.

Nazri Khan juga berkata, sambutan ulang tahun ke-71 UMNO juga antara faktor terbesar yang mempengaruhi pelabur kerana ia mungkin mencetuskan pemikiran yang pilihan raya sudah dekat dan menjana minat ke atas saham berkaitan kerajaan seperti Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), DRB-Hicom Bhd dan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

“Selain itu terdapat spekulasi yang lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke China mungkin membawa masuk pelaburan besar daripada Dalian Wanda, konglomerat multinasional China dan pemaju hartanah swasta terbesar dunia ke Bandar Malaysia selepas kegagalan perjanjian antara TRX City Sdn Bhd dengan konsortium Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC),” katanya.

Di pentas global, Nazri berkata, prestasi Wall Street dijangka menggalakkan walaupun diselubungi ketidaktentuan ekoran pemecatan Pengarah Biro Siasaan Persekutuan AS, James Comey.

“Positif sentimen berikutan data pekerjaan AS yang mantap, keputusan pilihan raya Perancis baru-baru ini juga dijangka berterusan ke minggu depan,” kata Nazri Khan.

Untuk minggu yang pendek disebabkan cuti Hari Wesak pada Rabu, bursa tempatan diniagakan keseluruhannya lebih tinggi disokong harga minyak mentah yang lebih baik.

Pada asas minggu ke minggu, FBM KLCI menambah 13.13 mata kepada 1,775.87, Indeks Emas FBM naik 120.57 mata kepada12,718.10, Indeks FBMT 100 menokok 126.22 mata kepada 12,348.00 dan Indeks Syariah Emas FBM melonjak 121.16 mata kepada 13,057.93, FBM 70 pulih 287.35 mata kepada 15,319.91 dan FBM Ace meningkat 137.43 kepada 6,438.26.

Pada asas sektor, Indeks Kewangan naik 173.07 mata kepada 16,411.15, Indeks Perladangan meningkat 48.46 mata kepada 8,112.79 dan Indeks Perusahaan menokok 24.54 mata kepada 3,259.21.

Jumlah dagangan mingguan menambah 13.49 bilion unit bernilai RM10.82 bilion berbanding 14.85 bilion unit bernilai RM9.31 bilion dicatat minggu lepas.

Volum Pasaran utama merosot kepada 8.43 bilion saham bernilai RM10.10 bilion berbanding 9.75 bilion saham bernilai RM11.22 bilion minggu lalu.

Pasaran ACE naik kepada 3.89 bilion unit bernilai RM564.34 juta berbanding 3.77 bilion unit bernilai RM546.15 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan waran bagaimanapun menyusut kepada 1.11 bilion unit bernilai RM143.90 juta berbanding 1.19 bilion unit bernilai RM132.88 juta minggu lepas. Bernama