Pakatan Harapan dakwa Pas, terdesak perlukannya

KUALA LUMPUR: Pas berkata tidak sepatutnya ucapan, berita yang bersumber daripada Umno dijadikan rujukan untuk menuduh parti itu hendak bergabung dengan Umno.

Pengarah Jabatan Penerangan Pas Pusat Ahmad Amzad Hashim berkata, Pas sudah menjelaskan kerjasama hanya dalam hal kepentingan rakyat, tetapi tetap berbeza dalam pendirian politik dan dasar perjuangan.

“Tak acilah tuduh Pas begitu begini kerana Umno buat kenyataan nak bekerjasama dengan Pas. Kena tengok apa kenyataan oleh Pas. Pas kata PRU14, Pas bertanding lawan Umno. Presiden, Timbalan dan Naib-naib semua kata begitu. Mursyidul Am dan Majlis Syura Ulamak pun kata begitu,” katanya dalam satu kenyataan.

Pas dilihat bersikap mesra Umno di bawah kepemimpinan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang sehingga terdapat spekulasi ia akan bekerjasama dengan Umno dalam pilihan raya umum akan datang.

“Umno ni nak pujuk Pas supaya duduk sebelah dia. Memang logiklah dia buat baik, puji, beri ruang dan macam-macam liputan. Lebih-lebih lagi keputusan SURVEY 2017 dan terbaru oleh sembilan orang profesor yang terlibat kajian dibuat oleh Parti Bersatu PPBM yang dapati Pas mendahului Umno dalam sokongan rakyat. Kajian Umno dan agensi risikan kerajaan pun mungkin selari. Berbaloi kalau dapat pancing Pas,” katanya.

Katanya, Umno tidak peduli kajian Invoke Rafizi Ramli. Semua kajian yang pro-Pakatan Harapan termasuk DAP, orang tidak percaya.

“Sebab itu walau pernah PKR beria-ia nak kerjasama dengan Umno dengan idea KONSENSUS NASIONAL, ia tak dipedulikan BN,” ujarnya.

“Walau DAP pernah hulur tangan nak kerjasama berbaik dengan BN, ia tak dipedulikan sekalipun DAP ada ramai ahli Parlimen,” tambahnya.

“Yang jadi rebutan sekarang adalah Pas. Umno ambil pendekatan buat baik dengan Pas kerana mereka perlukan Pas,” jelasnya.

Menurut Ahmad Amzad, DAP, PKR, Bersatu dan Amanah pun tahu sangat mereka sangat terdesak dan sangat perlukan Pas untuk berdepan PRU-14.

“Tetapi mungkin ilmu ‘diplomatik’ Pakatan Harapan ini menggunakan pendekatan ‘luar kotak’ yang tak tercapai dek akal manusia biasa,” katanya..

Oleh sebab Pakatan Harapan perlukan Pas, kata beliau lagi, maka pendekatan untuk ajak Pas agar bersama dengan mereka adalah dengan ‘melawan’ Pas.

“Menyerang Pas, memfitnah, khianat dan pelbagai lagi,” katanya sambil menambah itu  kaedah Pakatan Harapan mahu mengajak Pas agar bersama dengan mereka.

“Apabila Pas bercakap pasal matang dan sejahtera, Pas juga memerhati dan menilai sama ada pemimpin pemimpin politik yang cuba memancing Pas mempunyai akal dan buah fikiran dan hati budi yang sejahtera,” katanya.

Ujarnya, Pas tetap menegaskan akan memperkukuhkan muafakat politik dan muafakat rakyat yang dimaterialkan dalam Gagasan Sejahtera sebagai tawaran kepada rakyat. – Sarawakvoice