Miskin dan sikap punca gagal daftar kelahiran anak – Fatimah

KUCHING: Faktor kemiskinan, masalah pengangkutan dan rumah jauh dari Pejabat Pendaftaran Negara menjadi punca mengapa masih ramai dalam kalangan ibu bapa gagal mendaftarkan kelahiran anak masing-masing.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-Kanak, Datuk Fatimah Abdullah berkata, sebab lain ialah sikap tidak mengambil berat untuk mendaftarkan kelahiran anak.

Gambar fail

“Sehinggalah anak mereka tidak dapat mendaftar atau mendapat kemudahan-kemudahan yang disediakan, seperti kemudahan untuk mendapat pendidikan dan bantuan yang disediakan kerajaan, baharulah mereka sedar dan ada ‘kesungguhan’ untuk mendaftarkan kelahiran anak mereka,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri Murum, Chukpai Ugon semalam.

Sehubungan itu, kata Fatimah, satu petugas khas telah ditubuhkan pada 26 Ogos 2015 bagi menangani masalah penduduki pribumi yang lahir dan menetap di Sarawak, tetapi tidak mempunyai kad identifikasi diri.

“Pasukan ini akan menamatkan tugasan mereka pada 31 Disember depan.

“Sehingga Disember lalu, sebanyak 63 operasi melibatkan 15 kawasan Parlimen dan 28 kawasan Dewan Undangan Negeri telah dilaksanakan.

Daripada jumlah ini jelasnya, sebanyak 4,098 permohonan telah dimajukan, dan sebanyak 2,884 telah diterima manakala bakinya ditolak kerana pelbagai alasan, termasuk kelahiran tidak berlaku di negeri Sarawak, tiada perakuan daripada Penghulu atau Ketua Kaum atau Tuai Rumah serta ibu bapa yang bukan biologikal.

“Pada tahun 2017, sasaran yang ditetapkan adalah 50 operasi dan sehingga 30 April lalu, sebanyak 23 operasi telah dijalankan.

“Sebanyak 526 permohonan telah diluluskan dan 243 permohonan lagi ditolak.

Sebelum itu, Fatimah menjelaskan bahawa sebanyak 347 penduduk Iban, 439 Kenyah, 29 Kayan dan 27 Penan masih memegang kad pengenalan berstatus ‘Penduduk Sementara’ di negeri ini. – Sarawakvoice