Lelaki terbabas elak sekatan polis, dicekup selepas terbabas di Bulatan Kipali, Petra Jaya

KUCHING: Tindakan seorang lelaki berpatah balik dan memandu melawan arus selepas melihat sekatan jalan raya polis awal pagi tadi memakan diri, apabila kenderaan yang dipandunya terbabas di Bulatan Abang Haji Kipali di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, selepas terbabas, suspek terus dicekup oleh anggota bertugas sebelum dibawa ke Balai Polis Gita, dekat sini.

“Suspek kemudian diuji air kencing dan didapati positif dadah sebelum diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk tindakan lanjut,” katanya.

Penangkapan suspek ini dilakukan dalam operasi khas ‘Samseng Jalanan’ yang dikendalikan secara bersepadu oleh IPD Kuching awal pagi tadi.

Abang Ahmad menambah, operasi lima jam bermula jam 1 pagi itu diadakan di
Jalan Tun Patinggi Abdul Rahman Yakub, di Petra Jaya.

“Sebanyak 38 motosikal dan sebuah kereta diperiksa melibatkan 74 individu lelaki dan 10 individu perempuan.

“Kita turut melakukan semakan terhadap kenderaan curi namun tiada daripada kenderaan yang disemak ini dilaporkan hilang.

“Sebaliknya kita mengeluarkan 50 saman trafik melibatkan 47 kenderaan,” katanya lagi.

Operasi ini juga sebagai langkah cegah jenayah, terutamanya di kawasan Petra Jaya. – Sarawakvoice