Jalan pesisir Lingga-Sebuyau RM165 juta dicadang bermula pada RMK11

KUCHING: Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur (Jalan Pesisir), Datuk Haji Julaihi Haji Narawi memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), projek jalan pesisir Lingga-Sebuyau RM165 juta sudah dimajukan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Menjawab soalan Hajah Simoi Haji Peri (BN-Lingga) pada Persidangan DUN Ke-18 pada Jumaat, Julaihi berkata jalan pesisir sepanjang 30 kilometer itu dicadang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Memetik laporan Utusan Sarawak pada Sabtu, Julaihi berkata pembinaan jambatan menyeberangi Batang Lingga termasuk dalam projek jalan pesisir berkenaan.

Sementara, Julaihi turut menjawab soalan Dato’ Sri Huang Tiong Sii (BN-Repok) berkaitan status pembinaan jalan baharu Sarikei-Tanjung Manis bahawa projek tersebut sebahagian daripada Program Perhubungan Jalan Persisir.

Menurut Julaihi cadangan projek 13 kilometer jalan Sarikei/Bintangor ke Sibu/ Bawang Assan / Seredeng dianggarkan menelan kos berharga RM400 juta termasuk pembinaan jambatan merentasi Batang Rajang. – Sarawakvoice