Guan Eng nak bawa kes ADUN Pujut ke mahkamah

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng melahirkan rasa terkejut dengan keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak melucutkan keanggotaan Anggota Dewan Undangan Negeri Pujut, Dr Ting Tiong Choon dari DAP semalam.

Beliau berkata tindakan itu berbau politik.

Katanya Mahkamah Pilihan Raya tahun lepas telah menolak petisyen pilihan raya bagi kerusi DUN Pujut yang difailkan oleh calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hii King Chiong yang mendakwa Dr Ting mempunyai kewarganegaraan Australia setelah mendaftar sebagai pengundi di Australia.

Penolakan itu dibuat pada Oktober tahun lepas oleh Hakim Mahkamah Pilihan Raya, P. Ravinthran yang turut mengarahkan pempetisyen membayar kos RM80,000 kepada responden.

Lim menambah mahkamah telah memutuskan bahawa ia merupakan pemilihan yang sah tetapi DUN Sarawak telah membelakangi keputusan mahkamah dengan mengemukakan usul untuk melucutkan jawatan Dr Ting.

Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata DAP akan membawa perkara itu ke mahkamah.

Beliau pada masa yang sama berkata beliau telah mengarahkan DAP Sarawak untuk bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya kecil diadakan di Pujut.

Sementara itu beliau berkata beliau menyokong kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali yang meminta tiga anggota exco kerajaan negeri Selangor dari PAS untuk melepaskan jawatan mereka setelah PAS membuat keputusan untuk memutuskan kerjasama politik dengan PKR. Bernama