Chong bawa ke mahkamah isu pelucutan ADUN Ting

KUCHING: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (Dap) Sarawak, Chong Chieng Jen berkata pihaknya akan membawa isu pelucutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Dr. Ting Tiong Choon ke mahkamah.

Bagi Chong, mahkamah merupakan badan berkecuali dan berhak menentukan sama ada Ting layak dilucut sebagai wakil rakyat atau sebaliknya.

Tambah Chong, “kita akan mengkaji secara menyeluruh dari persektif udang-undang sama ada keputusan terbabit dapat dicabar di mahkamah.”

Chong menyifatkan hari pelucutan Ting sebagai ADUN itu sebagai hari menyedihkan kerana kes seumpama itu tidak pernah berlaku dalam mana-mana DUN atau Parlimen di negara ini.

Bercakap pada sidang media berhubung keputusan Speaker DUN, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar yang mengumumkan pelucutan Tiong sebagai ADUN, Chong mempertikaikan kualiti bukti yang diutarakan yang menurut beliau terdapat percanggahan dalam dokumen terbabit.

Menurut Chong berlaku percanggahan bukti dengan surat dari polis mengatakan Ting melepaskan kerakyatan Australia pada April 2016.

Manakala, bukti lain menyebut beliau menjadi pengundi berdaftar di Australia bertarikh 10 Julai 2016.

Sementara, Ting pula menganggap Menteri Kewangan Kedua merangkap ADUN Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh yang bertanggungjawab membawa usul khas pemecatan Ting sebagai ADUN dikatakan berniat jahat kerana memfitnahnya.

Bagi Ting bukti yang dikemukakan hanyalah khabar angin semata-mata yang didapati secara terbuka menerusi internet.

“Mana bukti yang mengatakan saya berikrar untuk kerajaan Australia? Ini hanya cetakan dari internet,” ujar Ting.

Ting dilucutkan sebagai ADUN serta-merta selepas usul dibentang oleh Wong mendapat undian 7-0 menyokong dan 10 menentang pada persidangan DUN ke-18 pada Jumaat.

Wong dalam usulnya menjelaskan, Ting mempunyai dua kewarganegaraan iaitu Malaysia dan Australia pada 20 Januari 2010.

Wong memetik Perkara 17 (1) (g) Perlembagaan Sarawak yang menyatakan mana-mana orang yang dengan sukarela memperoleh kewarganegaraan asing atau menikmati hak kerakyatan asing akan hilang kelayakan sebagai ADUN.

Wong turut mendakwa Ting diisytiharkan muflis dua kali di Australia di bawah Pihak Berkuasa Kewangan Sekuriti Australia pada 24 Jun 2012 dan 11 Sept 2012.

Wong berkata Ting sebagai warganegara Australia juga merupakan pengundi berdaftar di Australia.

“ADUN Pujut sama sekali tidak layak, tidak sesuai dan individu yang tidak boleh dipercayai untuk dicalon dan dipilih mewakili rakyat Sarawak,” tegas Wong.

Sejajar perbuatan secara sukarela ADUN Pujut tersebut, menurut Wong, Ting harus berhenti menjadi ADUN kerana telah melanggar Artikel 17(1)(g) Perlembagaan Sarawak.

Sebelum ini, calon langsung Barisan Nasional (BN) di DUN Pujut pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) tahun lepas, Datuk Hii King Chiong, gagal membatalkan kemenangan Ting apabila Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen yang difailkan.

Pada PRN11 lepas Ting memenangi kerusi DUN Pujut dengan majoriti 1,759 undi.

Beliau mendapat 8,899 undi menewaskan Hii yang memperoleh 7,140 undi; calon Parti Islam SeMalaysia (PAS) Jofri Jaraiee (513 undi) dan calon Bebas Fong Pau Teck (375 undi). – Sarawakvoice