Bahayakah “fidget spinner” permainan fenomena baru pelajar?

KUALA NERANG: Kementerian Pendidikan  belum memutuskan apa-apa tindakan berkaitan penggunaan gajet “fidget spinner”  yang menjadi fenomena dalam kalangan pelajar sekolah.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata gajet tersebut masih baru di pasaran dan belum diketahui kesan bahayanya.

Bercakap selepas merasmikan Kem Sayangi Hidup Elak Derita Selamanya (Shields) bersama Agensi Antidadah Kebangsaaan (AADK) peringkat kebangsaan pada Jumaat, Mahdzir berkata pihaknya masih menunggu laporan sebelum memutuskan tindakan berhubung penggunaannya.

“Kita perlu menunggu laporan dari pihak berkuasa terlebih dahulu, barulah kita bincang dalam jawatankuasa di peringkat kementerian,” kata Mahdzir menurut laporan Bernama.

Sebelum ini timbul isu di media berkaitan bahaya penggunaan fidget spinner yang berkemungkinan boleh mendatangkan kecederaan dan dieksploitasi menjadi senjata.

Ramai menyarankan agar Kementerian Pendidikan mengawasi permainan fenomena menular ini di kalangan pelajar agar tidak menjejaskan sesi pembelajaran.

Minggu lepas, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diarah mengambil sampel gajet fidget spinner di pasaran.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sampel berkenaan dihantar kepada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) untuk pemeriksaan.

Fidget spinner asalnya dicipta dan dipasarkan untuk penghidap Sindrom Kurang Daya Tumpuan serta Hiperaktif (ADHD) dengan penghidapnya mempunyai tabiat tidak berhenti memutar pensil, menggigit kuku, menyusun objek dan mengeluarkan bunyi pelik.

Namun, pengaruh fidget spinner makin membimbangkan apabila penjualannya bukan hanya membantu merawat penghidap sindrom ADHD, sebaliknya mengundang masalah lain.

Selain itu, gajet ini juga boleh mendatangkan kecederaan, malah dieksploitasi menjadi senjata berbahaya dan digunakan untuk tujuan jenayah.

Beliau menambah, alat permainan akan dihantar ke Jabatan Standard dan barang pembinaan dihantar ke Jabatan Kerja Raya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia.

Fidget spinner ialah permainan yang diilhamkan oleh Catherine Hettinger, wanita Florida yang pada satu ketika mengalami lemah otot dan beliau mudah berkongsi bermain fidget spinner bersama anak perempuannya.

Menurut The Guardian, Hettinger tidak mengharapkan keuntungan daripada fidget spinner pada awal prototaip versi awal permainan itu dicipta dan dijual

Paten asal mainan fidget spinner dijual pada pameran kraf dan hak paten luput pada 2005.

Di Amazon.com jualan fidget spinner menduduki jualan Top 20 daripada jualan terbaik Amazon bagi kategori permainan.

Permainan fidget spinner sangat ringkas dan murah, akan tetapi di luar negara ramai guru mula bercakap berkaitan permainan ini kerana dikhuatiri melarikan tumpuan murid semasa pembelajaran di kelas.

Di Amerika Syarikat, dilaporkan 32 peratus sekolah negara tersebut tidak membenarkan permainan fidget spinner di sekolah.

Seperti perminan Pokemon, ramai percaya fidget spinner akan dilupakan apabila anak-anak bosan bermain. – Sarawakvoice