Badan Legislatif termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak adalah satu organ penting dalam pemerintahan dan merupakan sebuah badan bebas sebagaimana badan kehakiman dan badan eksekutif, kata seorang pakar undang-undang.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata ketiga-tiga badan ini adalah sama status dan taraf dari sudut perlembagaan dan fungsi serta kuasa badan legislatif tidak boleh diambil alih oleh badan-badan lain.

Katanya dalam membuat sebarang keputusan dan tindakan, badan kehakiman dan badan eksekutif tidak boleh campur tangan dengan urusan badan legislatif.

“Ini penting dalam pemerintahan demokrasi bagi mengelak dominasi mutlak oleh seorang atau sekumpulan manusia mahupun oleh satu badan sahaja.

“Inilah sebab mengapa Doktrin Pengasingan Kuasa menjadi satu daripada konsep asas Perlembagaan Malaysia dan perlembagaan negeri-negeri di Malaysia, termasuk Perlembagaan Negeri Sarawak,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan DUN Sarawak melucutkan kelayakan wakil rakyat DAP Dr Ting Tiong Choon sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Pujut pada persidangan DUN semalam.

Usul itu dibuat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Negeri Datuk Woon Soon Koh yang juga ADUN Bawang Assan kerana Ting mempunyai dua kewarganegaraan iaitu Malaysia dan Australia.

Mengulas lanjut, Khairil Azmin berkata Perlembagaan Persekutuan memberikan hak keistimewaan kepada Parlimen dan Dewan-dewan Undangan Negeri untuk memastikan bahawa badan legislatif tidak tunduk atau duduk di bawah badan-badan lain dan bagi menjamin kebebasan anggota Parlimen dan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam menunaikan tanggungjawab mereka.

Menjelaskan demikian, beliau berkata perkara tersebut termaktub dalam Perkara 63 dan 72 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya antara keistimewaan Dewan Undangan Negeri ialah kesahan apa-apa prosiding di dalam Dewan Undangan mana-mana Negeri tidaklah boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah sebagaimana termaktub dalam Perkara 72(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Kuasa membuat keputusan sama ada seseorang ADUn hilang kelayakan menjadi ahli ialah kuasa eksklusif dan keistimewaan DUN. Peruntukan ini jelas termaktub dalam Perkara 17 dan 19 Perlembagaan Negeri sarawak.

Perkara 17(1) (b) dan (g) menyatakan bahawa seseorang hilang kelayakan untuk menjadi ahli DUN jika dia seorang bankrap belum lepas, atau telah dengan sukarela memperoleh kewarganegaraan negara lain, menggunakan hak kewarganegaraan negara lain atau telah membuat suatu akuan setia kepada mana-mana negara lain.

“Keputusan tentang kehilangan kelayakan menjadi ADUN hanya boleh dibuat oleh DUN tersebut,” katanya.

Khairil Azmin berkata Perkara 19 Perlembagaan Negeri Sarawak menyatakan bahawa jika berbangkit apa-apa soal sama ada seseorang ahli telah hilang kelayakan untuk menjadi ADUN, maka Dewan itu hendaklah mengambil keputusan mengenainya dan keputusan itu adalah muktamad.

“Sebagaimana yang diketahui Perkara 72(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa kesahan apa-apa prosiding di dalam Dewan Undangan mana-mana Negeri tidaklah boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah sebagaimana termaktub dalam Perkara 72(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu adalah amat sukar untuk membuat kesimpulan bahawa keputusan yang dibuat oleh Dewan dalam perkara ini boleh dicabar atau diubah di mahkamah kerana ia bertentangan dengan peruntukan-peruntukan yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Sarawak,” katanya. Bernama