4 penuntut Unimas bersama Hilux masuk gaung di Bukit Sebangkoi

SARIKEI: Empat penuntut Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berhadapan detik getir apabila kenderaan yang dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung di Jalan Sarikei-Saratok, Bukit Sebangkoi, dekat sini malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 11.21 malam tadi dan sebuah jentera dan ambulans EMRS dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei dengan kekuatan lapan anggota.

Tiba di lokasi 19 minit kemudian, pasukan mendapati insiden melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang terbalik di dalam gaung.

“Bagaimanapun semua empat mangsa yang sedang dalam perjalanan untuk menghadiri pertandingan bola tampar di Sibu dilaporkan selamat.

“Mereka berjaya mengeluarkan diri dari kenderaan sejurus selepas kejadian.

Operasi ditamatkan sejurus pemantauan lanjut dilakukan, katanya. – Sarawakvoice