KUALA LUMPUR: Wanita UMNO sudah bersedia untuk turun habis-habisan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kata ketuanya Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata sayap wanita berasa yakin untuk menghadapi pilihan raya kerana mereka telah mendekati rakyat di peringkat akar umbi secara berterusan dan menjadi “mata dan telinga” kerajaan.

“Pada bila-bila masa pun pilihan raya diadakan, kita sudah bersedia untuk menghadapinya. Selama ini, kita telah melakukan semua yang mampu untuk rakyat,” kata Shahrizat selepas menyampaikan bantuan kesihatan daripada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) kepada pesakit dialisis, S. Subamah, 70.

Shahrizat juga mengulangi apa yang ditegaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa sebab UMNO terus relevan ialah kerana parti itu tidak pernah menyimpang daripada landasan perjuangannya untuk membela rakyat.

“Kita sentiasa berjuang untuk kebaikan rakyat seperti apa yang ditegaskan oleh presiden kita (Najib) dalam ucapan beliau semasa sambutan Ulang Tahun UMNO ke-71.

Pada Khamis, beliau semasa berucap di hadapan kira-kira 150,000 penyokong UMNO berkata parti itu bukan sahaja berjuang untuk anggotanya tetapi untuk seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

Sementara itu, timbalan ketua bahagian UMNO Petaling Jaya Selatan, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim berkata anggota UMNO di peringkat akar umbi sedang bekerja keras untuk memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dapat merampas semula Selangor daripada Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14.

“Kita 100 peratus yakin bahawa kita boleh mengambil balik Selangor jika momentum ini dikekalkan dan sentiasa mendahulukan rakyat,” kata beliau.

Terdahulu, S. Subamah , menerima bantuan daripada YKN bagi rawatan dialisisnya yang melibatkan kos RM31,000 setahun. Beliau juga menerima bantuan kerusi roda untuk memudahkannya bergerak kerana tidak dapat berjalan selepas diserang angin ahmar.

YKN mempunyai enam pusat dialisis di seluruh negara dan RM3.37 juta dibelanjakan setiap tahun oleh pertubuhan itu untuk membantu mereka yang memerlukan. Bernama