Warga Pujut mengundi lagi, ADUN Dap miliki dua warganegara tersingkir

KUCHING: Memiliki dua taraf kewarganegaraan iaitu Malaysia dan Australia, wakil rakyat Dap Pujut, Ting Tiong Choon dilaporkan hilang kelayakan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak.

Menurut Malaysiakini pada Jumaat yang memetik See Hua Online, DUN Sarawak mengundi 70 menyokong, 10 menentang penyingkiran Tiong, selepas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan e-Dagang Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh (BN Bawang Assan) mengemukakan usul terhadap Tiong.

Wong mendakwa, Tiong dua kali muflis di Australia dan didaftarkan sebagai pengundi di negara tersebut serta berikrar taat setia kepada negara di luar Persekutuan Malaysia.

Wong memetik Perkara 17 (1) (g) Perlembagaan Sarawak yang menyatakan mana-mana orang yang dengan sukarela memperoleh kewarganegaraan asing atau menikmati hak kerakyatan asing hilang kelayakan sebagai ADUN.

Tiong didakwa memperoleh kewarganegaraan Australia pada 20 Januari 2010.

Pada sidang akhbar yang disiarkan di Facebook Dap Sarawak, Tiong berkata beliau melepaskan kerakyatan Australia selepas direkrut Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) untuk kembali ke Malaysia.

Beliau berkata proses memulangkan kerakyatan Australia itu mengambil
tempoh setahun, dan selesai sebelum Pilihan Raya Negeri Sarawak yang diadakan 7 Mei 2016.

Tiong mendakwa beliau tidak pernah hilang kerakyatan Malaysia.

Sebelum ini, isu kemenangan Tiong pernah dipertikai oleh calon BN Pujut yang tewas kepada Tiong, Hii King Chiong.

Hii memfailkan petisyen pertama berkaitan isu seumpamanya yang difailkan selepas PRN Sarawak ke-11 terhadap kemenangan Dap itu di Mahkamah Tinggi Miri bagi membatalkan keputusan kerusi Pujut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada Mei 2016.

Namun, Mahkamah Pilihan Raya menolak kes itu atas alasan teknikal tahun lalu.

Memetik FMT 19 Jun 2016 yang mengutip laporan The Star,Tiong memberi keterangan kepada polis berhubung dakwaan beliau membuat deklarasi palsu berhubung status kewarganegaraannya.

Tiong memenangi kerusi DUN Pujut dengan majoriti 1,759 undi, selepas meraih 8,899 undi menewaskan Hii yang memperoleh 7,140 undi; calon PAS, Jofri Jaraiee (513 undi) dan calon Bebas, Fong Pau Teck (375 undi).

Dengan hilangnya kelayakan Tiong sebagai ADUN, Pilihan Raya Kecil Pujut akan menyusul dalam tempoh 60 hari bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan tersebut. – Sarawakvoice