TYT ramal ekonomi tumbuh 4 peratus, sokong ekonomi digital

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menjangkakan Sarawak mengalami pertumbuhan ekonomi sehingga 4 peratus tahun ini, seiring pertumbuhan ekonomi negara.

Manakala, beliau meramalkan kadar inflasi berada pada tahap rendah di bawah 3 peratus.

Berucap sempena pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-18, di DUN, Petra Jaya pada Khamis, Taib mengalu-alukan langkah Kerajaan Negeri melaksanakan pembangunan ekonomi digital.

Beliau menyifatkan ekonomi digital mampu menjadi sumber pertumbuhan ekonomi baharu buat negeri ini.

“Ia pasti membuka lebih banyak peluang kepada rakyat khususnya golongan muda turut serta dalam perniagaan bentuk baharu seperti e-dagang dan e-pembelajaran yang mempunyai pasaran luas dan terbuka peringkat global,” kata Taib.

Taib berpuas hati, Kerajaan Negeri memperluas prasarana ICT di bandar dan luar bandar demi menggerakkan pembangunan ekonomi digital ini.

Sementera itu, Taib turut menyentuh berkaitan R&D, pelancongan dan pertanian.

Berkaitan penyelidikan dan pembangunan (R&D) beliau meminta Kerajaan Negeri terus memberi perhatian kepada kegiatan ini dalam meningkatkan produktiviti dan daya saing ekonomi negeri.

Penemuan R&D mampu meningkatakan nilai produk dan memberi kelebihan untuk dikomersialkan.

Dari segi pelancongan, Taib berkata, Pelancongan berupaya membuka banyak peluang niaga selain pekerjaan kepada rakyat.

Justeru, prasarana, produk pelancongan dan tenaga kerja mesti dipertingkatkan, selain giat mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan.

Bercakap berkaitan sektor pertanian, Taib berkata Sarawak perlu membangunkan sektor ini secara moden.

Ia juga perlu dikomersilkan demi meningkatkan pendapatan eksport dan menjamin keselamatan makanan dan bekalan mencukupi. – Sarawakvoice