Tun Taib gembira dengan pelaksanaan Ekonomi Digital Sarawak

KUCHING: Tun Abdul Taib Mahmud semalam mengalu-alukan inisiatif Kerajaan Negeri memperkenalkan beberapa insiatif baharu dalam pembangunan ekonominya.

Yang di-Pertua Negeri berkata, keputusan Kerajaan Negeri melaksanakan ‘ekonomi digital’ adalah tepat pada masanya.

“Dalam usaha kita untuk terus bersaing di peringkat antarabangsa, kita harus memodenkan ekonomi negeri dengan mempertingkatkan pelaburan, termasuklah dalam ekonomi digital,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Persidangan Pertama, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Sarawaki di sini semalam.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sebelum ini mengumumkan peruntukan dana RM1 bilion untuk menyediakan kemudahan 5,000 menara telekomunikasi di negeri ini, yang kemudian diikuti jumlah sepadan oleh Kerajaan Pusat, pada tahun hadapan.

Berikutan perkembangan ini kata Tun Abdul Taib lagi, usaha perlu dilakukan sekarang bagi mempersiapkan rakyat untuk mendapatkan peluang dalam ekonomi digital.

“Pertumbuhan ekonomi ini akan menjadi sumber pertumbuhan ekonomi yang baharu untuk negeri Sarawak.

“Ia akan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat, khususnya golongan muda untuk turut serta dalam perniagaan bentuk baharu seperti e-dagang dan e-pembelajaran, yang mempunyai pasaran yang begitu luas dan terbuka di peringkat global.

Pada masa yang sama tegasnya, pembangunan infrastruktur ekonomi yang lengkap perlu menyeluruh dan merata ke segenap pelosok negeri.

“Kerana itu saya gembira apabila Kerajaan Negeri akan memperluaskan infrastruktur ini bukan sahaja di kawasan bandar, malah di luar bandar.

“Ia penting untuk mengurangkan jurang digital di antara kawasan bandar dan luar bandar.

Pembangunan infrastruktur digital ini dilakukan bukan sahaja melalui menara, malah turut melibatkan pemasangan kabel fiber optik dan pengkomputeran cloud.

Oleh itu, seru Tun Abdul Taib lagi, generasi muda di negeri ini harus mengambil peluang ini untuk lebih kreatif, inovatif dan bijak menggunakan platform ICT bagi menjalankan pelbagai aktiviti yang mampu meningkatkan taraf sosioekonomi.