Taib mahu hubungan baik Kerajaan Sarawak dan Persekutuan dipelihara

KUCHING: Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud mahu supaya kerajaan negeri Sarawak meneruskan hubungan  baik dengan kerajaan persekutuan memandangkan kerjasama rapat dan sokongan padu daripada kerajaan persekutuan akan memudahkan perancangan serta pelaksanaan agenda pembangunan di Sarawak.

Hubungan  baik ini akan memberi lebih ruang kepada pucuk kepimpinan negeri untuk meneruskan usaha memperjuangkan hak dan kepentingan Sarawak di peringkat persekutuan, kata Taib ketika berucap merasmikan pembukaan  persidangan pertama penggal kedua Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-18 di sini semalam.

Mengenai pelantikan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sebagai ketua menteri Sarawak yang keenam, Taib berkata  pelantikan Abang Johari itu bersesuaian  dengan pengalaman luas beliau dalam  politik dan pentadbiran negeri Sarawak.

“Saya percaya di bawah kepimpinan beliau, masa depan Sarawak akan terus berkembang maju dan makmur,” katanya.

Taib turut  merakamkan penghargaan kepada bekas Ketua Menteri Sarawak Allahyarham Tan Sri Adenan Satem atas sumbangan dan jasa bakti beliau kepada negeri ini.

​​​​​​​”Allahyarham merupakan seorang pemimpin yang sangat disegani oleh kawan-kawan kerana kewibawaan, keberanian dan ketegasan beliau dalam memperjuangkan hak dan kepentingan negeri Sarawak.

“Beliau juga lantang memperjuangkan kebajikan rakyat Sarawak tanpa mengira bangsa dan agama selaras dengan teras perjuangan beliau sebagai ketua menteri untuk semua kaum,” katanya.

Taib berkata sungguhpun  menjadi ketua menteri  dalam tempoh yang singkat, kepimpinan Allahyarham Adenan memberi kesan yang begitu besar kepada rakyat Sarawak.

Ini, katanya, terbukti apabila Allahyarham berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif, program dan projek pembangunan yang bersifat ‘berpaksikan rakyat’ serta yakin 53 prinsip dan tindakan yang dilaksanakan oleh Allahyarham telah dinikmati  oleh semua lapisan masyarakat.

“Allahyarham akan terus dikenang sebagai seorang pemimpin yang tegas dalam memperjuangkan hak-hak autonomi negeri serta mengusulkan pengembalian kuasa daripada kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri selaras dengan apa yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963,” kata Taib.

​​​​​​​Terdahulu, Anggota Dewan Undangan Negeri bertafakur  selama seminit sebagai penghormatan kepada Allahyarham Adenan yang meningggal dunia pada 11 Jan lepas akibat komplikasi jantung.

Dalam ucapannya itu juga, Taib turut menyentuh mengenai kematangan dan kestabilan politik di Sarawak yang, menurut beliau, merupakan tunjang kepada pentadbiran dan pembangunan negeri Sarawak.

Katanya ia adalah manifestasi kepimpinan Barisan Nasional yang sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat untuk kesinambungan pembangunan di negeri ini. Bernama