Soon Koh usul Adun Pujut disingkir, hilang kelayakan di DUN

KUCHING: Sesi hari kedua Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini bertukar panas apabila Menteri Kewangan Kedua, Datuk Sri Wong Soon Koh mengemukakan usul kementerian untuk menyingkirkan wakil Pujut, Dr Ting Tiong Choon sebagai ahli dewan tersebut.

Wong yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-dagang memohon di bawah Perintah Tetap 23(1)(a) bahawa Tiong Choon hilang kelayakan sebagai ahli dewan.

“Ini kerana Peraturan 17(1)(g) Perlembagaan Negeri menetapkan mana-mana Adun hilang kelayakan apabila mereka secara sukarela memohon dan memegang kewarganegaraan negara lain.

Menurut Soon Koh, Adun DAP itu telah memperoleh kewarganegaraan Australia pada 22 Januari 2010, lama sebelum beliau bertanding sebagai calon DAP di Dewan Undangan Negeri Pujut pada tahun lalu.

“Malah Tiong Choon juga pernah berdaftar sebagai pemilih dalam Suruhanjaya Pilihan Raya Australia.

“Lebih menarik lagi, Tiong Choon pernah dua kali diisytihar muflis di negara tersebut, iaitu pada 28 Jun dan 11 September 2012 — menjadikannya tidak kompeten dan layak untuk berada di dewan mulia ini,” tegasnya.

Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak pada Mei tahun lalu, Tiong Choon menang kerusi Pujut dengan majoriti 1,759 undi.

Tiong Choon memperoleh 8,899 undi menumpaskan calon BN, Hii Kong Chiong (7,140 undi), Jofri Jaraiee (Pas – 513 undi) dan penyandang, Fong Pau Teck (Bebas – 375 undi)

Pau Teck pernah melakukan bantahan sebelum ini namun kekurangan bukti.

Kerusi itu dimenangi Pau Teck menerusi tiket DAP pada 2011, sebelum beliau dipecat atas alasan gagal memberi sumbangan kepada parti.

Sebelum pembentangan usul tersebut oleh Soon Koh, Speaker Datuk Amar Asfia Awang Nassar telah meminta pihak DAP untuk memberi nama dua anggotanya yang akan bertindak mempertahankan Tiong Choon.

Elemen kejutan usuk ini, yang tidak dimaklumkan awal menyebabkan Adun DAP dari Tanjong Batu, Chiew Chiu Sing cuba memohon penangguhan, bagi membolehkan defendan mengumpul dokumen pembelaan.

Malah wakil Padungan, Woing King Wei berkata, mereka sukar memilih pendebat dalam waktu terdekat dan masih berbincang berhubung keputusan itu, di sebalik ketiadaan Chong Chieng Jen.

Asfia menegasan bahawa kes tersebut telah diperdengar di mahkamah dan sewajarnya defendan iaitu Tioing Choon telah bersedia dengan fakta-fakta pembelaan, serta dokumentasi berkaitan.

Usul Soon Koh disokong oleh Menteri Muda Pengangkutan, Datuk Dr Jerip Susil. – Sarawakvoice