Simulasi keselamatan tangani ancaman pada Sukan Sea 2017 dan PRU akan datang — Sabtu

SRI AMAN: Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, semalam memberi jaminan tahap keselamatan dalam negeri adalah terkawal menjelang temasya Sukan Sea 2017 dan Pilihan Raya Umum yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Datuk Seri Mohd Sabtu Osman berkata, pihaknya akan sentiasa meningkatkan kesiapsiagaan terhadap sebarang kemungkinan sambil mengetatkan kawalan, baik di lokasi bandar kejohanan mahupun di sempadan.

“KDNKA telah pun mengatur langkah, memanggil mesyuarat, dan mengadakan raptai serta simulasi untuk dua acara terbesar ini,” tegasnya ketika ditemui selepas merasmikan Kem Kompeni C, Batalion Ke-10, Pasukan Gerakan Am di Bukit Temudok di sini.

Kem yang terletak di lokasi strategik ini dibina semula dengan kos RM235 juta dan telah siap sejak lima tahun lalu.

Bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak itu memberitahu, raptai dan simulasi ini diadakan bagi mengenal pasti pergerakan dan tempat-tempat yang perlu diberikan tumpuan dari aspek keselamatan ketika kedua-dua acara itu berlangsung.

Temasya Sukan Sea 2017 akan bermula 19 Ogos ini manakala pilihan raya umum diramalkan selepas temasya tersebut.

Dalam sidang media yang sama, Datuk Seri Mohd Sabtu turut memberi amaran kepada rakyat di negeri ini agar tidak membangkitkan sentimen perkauman dan keagamaan yang ditularkan di media sosial.

“Ia boleh mendatangkan implikasi negatif seperti berulangnya tragedi 13 Mei.

“Justeru kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan jika keadaan meruncing,” katanya.

Sabtu akan meninggalkan penugasannya untuk bersara wajib pada Julai depan, selepas 41 tahun berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia. – Sarawakvoice