Putusnya Pas-PKR menurut perspektif, persepsi Pas…

Majlis Syura Ulama Pas sudah membuat keputusan muktamad bahawa parti tersebut tiada lagi mempunyai kerjasama politik (tahaluf siyasi) dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Di negeri Selangor, Pas mempunyai hubungan istimewa dengan kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) dan menjadi sebahagian komponen kerajaan negeri diterajui PKR pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Penguasaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan Exco terdiri daripada campuran  gabuang PKR, Dap dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Dewan Negeri Selangor mempunyai 14 wakil rakyat Dap, 13 PKR, 13 Pas, 11 Umno, 2 Amanah dan 2 Bebas.

Daripada 56 kerusi DUN, Umno (BN) hanya menguasai 12 kerusi.

Dan tanpa sokongan Pas pula, kerajaan negeri Harapan menguasai sejumlah 29 daripada 56 kerusi dewan.

Menghalusi pengumuman yang dibuat oleh Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawazi Salleh pada Khamis berkaitan keputusan tersebut, seperti dijangka Pas di Selangor mengekalkan kedudukan mereka dalam kerajaan negeri.

Memetik Malaysiakini, Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi berkata walaupun kerjasama politik dengan PKR secara rasmi mansuh, Pas Selangor kekal dalam kerajaan negeri bertujuan menjaga maslahah rakyat.

“Kita bersetuju dan akan ikut keputusan yang telah dibuat Majlis Syura Ulama bahawa tidak akan ada lagi pakatan politik atau tahaluf siyasi dengan PKR,” ujar Sallehen.

Anggota Majlis Syura Ulama Pas mengadakan mesyuarat bermula 3.30 petang membincangkan kedudukan usul yang diterima sebulat suara pada Muktamar Tahunan Pas di Alor Setar baru-baru ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan keputusan majlis syura Pas memutuskan hubungan dengan PKR tidak menjejaskan kerajaan Selangor.

Wan Azizah berkata, PKR mengambil maklum keputusan majlis syura tersebut walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk mengekalkan muafakat politik demi memenuhi aspirasi rakyat.

“PKR tidak pernah mengkhianati prinsip tahaluf siyasi semenjak terbentuknya muafakat politik,” ujar Wan Azizah.

Menurut Wan Azizah, PKR mendukung secara prinsip usaha pemerkasaan mahkamah syariah seperti yang ditegaskan oleh kenyataan media Datuk Seri Anwar Ibrahim 8 April 2017 yang juga merupakan pendirian rasmi PKR.

PKR berusaha secara muafakat dengan parti politik lain menawan Putrajaya serta mempertahankan kerajaan negeri Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.

Muhammad Zawawi dalam mengumumkan keputusan tersebut memberi beberapa justifikasi merujuk kepada pelanggaran syarat tahaluf siyasi dilakukan PKR.

Wan Azizah menjelaskan, matlamat dan tindakan PKR dalam semua pilihan raya termasuk Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah untuk menentang Umno dan BN.

Menolak tohmahan badan tertinggi Pas yang menjustifikasi alasan memutuskan kerjasama politik Pas-PKR yang “menyakitkan” itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail melahirkan rasa kesal beliau.

“Namun (PKR) menghormatinya atas kebebasan Pas membuat suatu pendirian politik,” ujar Nasution sempat membela, “PKR menolak tohmahan PKR menentang agenda Islam, melanggar adab berkerjasama dalam politik dan khianat dalam hubungan politik dengan PAS.”

Dalam kenyataannya pada Khamis malam, Nasution berkata PKR akan membincang keputusan Pas dan akan mengambil pendirian berkaitan perkembangan terbaru itu.

Sementara, Profesor Abdul Aziz Bari mempunyai pandangan politik berhubung perkembangan terkini pendirian Pas berkaitan tahaluf siyasinya dengan PKR.

Memetik Malaysiakini, pakar undang-undang perlembagaan itu berkata, menurut model Westminster, wakil rakyat harus keluar apabila badan tertinggi parti membuat sesuatu pendirian.

Malah, dalam gesaan lebih drastik, beliau mencadangkan Azmin mengeluarkan tiga exco Pas atau mereka perlu meletak jawatan susulan keputusan Majlis Syura Ulama itu.

Azmin sebelum ini berkata tiada rombakan dalam barisan kepimpinan negeri kerana pengundi pada pilihan raya lepas memilih Pas, Dap dan PKR untuk bersama membentuk kerajaan negeri.

Di pihak Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin menyeru semua parti pembangkang memberi tumpuan kepada pembentukan kerajaan persekutuan baharu.

“Kita tahu ada dalam kalangan pemimpin Pas yang mahu bekerjasama dengan kita,” ujar Afif menurut FMT.

Sementara, Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid berkata pengundi akan menghakimi perpecahan antara Pas-PKR.

“Bukan kami yang minta putus. Mereka yang mahu putus. Jadi, selamat tinggal,” kata Abdullah Sani.

Jika Pas boleh mengambil satu-satu keputusan dengan melihat kesalahan pihak lain melalui perspektifnya sendiri, pihak lain juga boleh melemparkan alasan yang sama menggunakan perspektifnya sendiri.

Adakah selama ini, Pas tidak pernah “menyentuh” atau “menerkam” pihak lain?

Adakah politik memang begitu? – Sarawakvoice