PSMCS tawar RM6,000 untuk pemenang Esei Sejarah Sarawak 2017

KUCHING: Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Sarawak (PSMCS) sekali lagi menganjurkan Peraduan Menulis Esei Sejarah, dengan menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM6,000 sebagai ganjarannya.

Pengerusi PSMCS, Datu Putit Matzen berkata, pertandingan ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas, dan tarikh tutupnya adalah pada 31 Disember depan.

“Ia adalah acara tahunan kita yang bertujuan untuk menggalakkan orang ramai dan pelajar menjalankan kajian atau penyelidikan tentang sejarah Sarawak.

“Pada masa yang sama, ia juga bertujuan untuk menimbulkan kesedaran, minat serta penghayatan dalam kalangan orang ramai dan pelajar akan kekayaan sejarah di negeri ini,” katanya sewaktu melancarkan pertandingan tersebut sempena Mesyuarat Agung Tahunan PSMCS di sini semalam.

Kata Putit lagi, para pengkaji dan penulis di Sarawak amat berbakat kerana lazimnya, kebanyakan mereka memenangi hadiah-hadiah utama di peringkat nasional, dalam penulisan esei ini.

“Sehubungan itu, kita yakin, penganjuran di peringkat negeri ini dapat mencungkil minat, sekali gus membantu kita memperbanyak media atau bahan bercetak mengenai bahan sejarah di negeri ini.

Untuk maklumat lanjut dan borang pertandingan menulis esei berbahasa Melayu sepanjang 3000 ke 4000 patah perkataan ini, boleh menghubungi Sanai Dundang Jeman melalui whatsapp atau panggilan ke talian 016 522 9643.

Pada majlis yang sama, Putit turut melancarkan ‘Projek Penulisan Jurnal Sejarah Sarawak’, yang bakal diterbitkan oleh PSMCS pada penghujung tahun ini. – Sarawakvoice