Perjuangan untuk semua rakyat rahsia survival UMNO

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, UMNO kekal kuat sehingga ke hari ini adalah kerana ia sentiasa berpegang kepada asas perjuangan parti yang berpaksikan Islam, Melayu dan Bumiputera untuk seluruh rakyat di negara ini.

Menyifatkan parti yang berusia 71 itu paling berjaya dalam sejarah demokrasi dunia, Presiden Umno itu berkata, keunggulannya adalah disebabkan empat faktor.

Pertamanya, UMNO tidak pernah meninggalkan asas perjuangan parti yang berpaksikan Islam, Melayu Bumiputera dan negara Malaysia.

“Kedua, kita meletakkan perjuangan parti untuk kepentingan seluruh rakyat dari dahulu hingga sekarang. Kita berjuang bukan untuk ahli bahkan semua rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Ketiga, kita sentiasa relevan mengikut peredaran zaman dan keempat, kita mempunyai wawasan serta tindakan yang kolektif bersama komponen Barisan Nasional,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada kemuncak majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-71 di Stadium Nasional Bukit Jalil yang dihadiri sekitar 100,000 ahli, malam tadi.

Katanya, sejak penubuhannya, UMNO juga sentiasa relevan dengan dasar perjuangan yang sesuai dengan zaman selain mempunyai visi dan tindakan untuk memajukan bangsa dan negara.

“Kita berjuang bukan untuk ahli UMNO sahaja, malah untuk semua rakyat tidak kira kaum, agama dan keturunan.

Kita perjuangkan pembangunan untuk siapa? untuk rakyat Malaysia, kita jaga keselamatan untuk siapa? untuk rakyat Malaysia, kita tegakkan perpaduan untuk siapa? untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Najib juga menegaskan UMNO bukan parti perkauman dan bukan parti pelampau, malah ia sanggup bekerjasama dan berkongsi kuasa dengan rakan-rakan dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) yang mewakili seluruh rakyat di negara ini.

Beliau berkeyakinan parti itu bersama rakan-rakan dalam BN akan sekali lagi diberikan mandat untuk memerintah pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

“Kita sentiasa relevan kerana dasar perjuangan yang kita amalkan dan laksanakan sesuai mengikut era dan zaman sama ada ketika menentang Malayan Union atau era pascakemerdekaan, membangunkan kawasan luar bandar, era perindustrian dan menuju 30 tahun lagi kepada zaman Transformasi Nasional (TN50),” ujarnya.

Dengan kehadiran anggota parti dan saf kepimpinan UMNO dan BN, parti itu, katanya tidak berasa gentar atau gundah gulana walaupun menghadapi pelbagai cabaran daripada pihak lawan, malah akan menghadapi segala cabaran itu dengan segala kekuatan.

“Inilah semangat kita, semangat luar biasa UMNO. Siapa kata UMNO tidak kuat, tengok sahajalah perhimpunan ini. Ini baru sebahagian sahaja, ramai lagi (ahli) berada di kampung, di pinggir bandar, ada tiga juta lebih lagi,” tegasnya.

Penganalisis politik menyifatkan perhimpunan itu sebagai perhimpunan terbesar dalam sejarah Umno, dan sebagai strategi menyemarakkan semangat ahli dan mengukuhkan solidariti mereka menjelang pilihan raya umum ke-14. – Sarawakvoice