Pas  Selangor akur, hormati keputusan Majlis Syura

KUALA LUMPUR: Pas Selangor  berkata ia akur dan menghormati keputusan Majlis Syura Ulamak Pas  yang telah memutuskan bahawa hubungan politik tahaluf siyasi dengan PKR telah terbatal.

Oleh hal yang demikian, kata Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor,  ia tidak lagi akan terlibat dalam sebarang kerjasama dan rundingan politik dengan PKR.

Sebaliknya, kata Sallehen Mukhyi, ia akan mengukuhkan kerjasama dengan Gagasan Sejahtera khususnya dalam menghadapi pilihan raya umum  (PRU) ke-14.

“Walau bagaimanapun demi menghormati mandat dan kepercayaan rakyat khasnya dalam PRU ke-13 lalu maka PAS Selangor akan kekal sebagai sebahagian komponan dalam kerajaan negeri sehinggalah tamat penggalnya nanti,” katanya dalam satu kenyataan.

Keputusan berkenaan telah dibuat oleh Majlis Syura Ulamak Pas yang bersidang  semalam.

Pada Muktamar pas ke-63 di Alor Setar baru-baru ini, Pas menerima usul menamatkan kerjasama politik dengan PKR.

Setiausaha majlis itu, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata,  keputusan itu dibuat kerana PKR telah banyak melanggar  syarat tahaluf siyasi berkenaan.

Antaranya ialah PKR tidak menyokong, malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa Pas seperti RUU 355, melanggar adab kerjasama, menyerang pimpinan Pas dan membuat  tuduhan palsu yang merosakkan imej parti Islam itu. – Sarawakvoice