Najib tempelak Mahathir, sanggup ‘bercium mulut’ dengan musuh UMNO

KUALA LUMPUR:  Perdana Menteri  menempelak tindakan beberapa bekas pemimpin negara yang sanggup mengkhianati UMNO dan Barisan Nasional (BN) demi mencapai agenda peribadi.

Tanpa menamakan mereka tetapi jelas merujuk kepada bekas Perdana Menteri dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Razak berkata, pemimpin berkenaan sanggup berdamping dengan pihak yang pernah menjadi musuhnya demi memerangi dan menjatuhkan pemimpin UMNO dan BN.

“Sungguh tidak disangka dan tidak pernah diduga ada satu dua bekas pemimpin negara termasuk bekas negarawan yang pernah kita sanjung, tergamak dan sanggup bersubahat dan berbuat khianat terhadap parti kita,” kata Presiden UMNO itu dalam ucapan sempena ulang tahun ke-71 Umno di Stadium Nasional Bukit Jalil, yang dihadiri sekitar 100,000 ahli di sini, malam tadi.

Beliau menarik perhatian bahawa pemimpin itu sebelum ini yang dijulang sebagai seorang negarawan mengajar dan membimbing anggota UMNO supaya menanam kebencian terhadap DAP yang dianggap parti cauvinis dan rasis yang membenci orang Melayu dan agama Islam.

“Yang menyedihkan beliau sanggup menjilat ludah, berdamping dan “bercium mulut” dengan musuh kita, musuh UMNO yang pernah dipimpin beliau selama berpuluh tahun hanya kerana agenda peribadinya,” ujar Perdana Menteri.

Mahathir yang kini menjadi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia selepas keluar daripada UMNO menjadi pengkritik tegar Perdana Menteri.

Kini, Najib walaupun tidak menyebut  nama Mahathir dalam ucapannya, berada mode menyerang bekas Perdana Menteri yang memerintah paling lama itu, dari 1981 hingga 2003. – Sarawakvoice