Najib di Hangzhou tinjau operasi Alibaba

HANGZHOU, CHINA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini Jumaat bagi mengadakan lawatan ringkas untuk meninjau operasi Alibaba Group, gergasi e-dagang China di bandar ini.

Pada sebelah petang perdana menteri dijadual berlepas ke Beijing untuk memulakan lawatan kerja lima hari ke China termasuk menghadiri Forum Jalur dan Laluan bagi Kerjasama Antarabangsa pada Ahad dan Isnin ini.

Ketibaan Najib, yang diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, kira-kira pukul 6.20 pagi di Lapangan Terbang Hangzhou disambut oleh Naib Gabenor Hangzhou, Liang Liming.

Turut hadir menyambut Perdana Menteri ialah Duta Besar China ke Malaysia, Huang Hui Kang.

Di Hangzhou, Najib dijadual bertemu Pengerusi Eksekutif Kumpulan Alibaba, Jack Ma, yang juga merupakan Penasihat Ekonomi Digital Kerajaan Malaysia.

Perdana Menteri juga akan menyaksikan upacara menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Hangzhou Municipal Government dan Alibaba Group (China) Company Limited.

Ia adalah antara usaha untuk melaksanakan projek Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang dilancarkan bersama oleh Najib dan Jack Ma di Malaysia, 22 Mac lepas.

DFTZ adalah usaha ke arah merancakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan menyediakan kemudahan e-dagangan rentas sempadan oleh syarikat-syarikat kecil dan sederhana yang selama ini sukar menembusi pasaran antarabangsa dan bertumpu di pasaran tempatan sahaja.

Antara lain, ia akan mewujudkan kawasan logistik di Aeropolis berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menyediakan kemudahan logistik, ruang simpanan, urusan kastam serta pembiayaan secara pantas dan efisyen. Bernama