Mahkamah Pilihan Raya tolak petisyen Dun Pujut pada Oktober lalu

KUCHING: Mahkamah Pilihan Raya di Miri pada 15 Oktober lalu menolak petisyen pilihan raya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut yang difailkan oleh calon langsung Barisan Nasional (BN), Datuk Hii King Chiong.

Hakim P Ravinthran berkata, ia ditolak atas dua alasan yang dibangkitkan semasa bantahan awal oleh peguam pihak responden mengenai isu bayaran deposit sekuriti RM10,000 dan peraturan mengemukakan tiga salinan petisyen kepada mahkamah.

Katanya deposit sekuriti tersebut perlu dibayar secara tunai dan bukan melalui cek semasa memfailkan petisyen serta mahkamah hanya menerima satu salinan petisyen dan bukan tiga seperti disyaratkan.

Katanya mahkamah turut mengarahkan pempetisyen membayar kos RM80,000 kepada responden iaitu pemenang kerusi tersebut, Dr Ting Tiong Choon dari DAP.

Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN11), 7 Mei lalu, Dr Ting menang dengan majoriti 1,759 undi dalam pertandingan empat penjuru melibatkan calon DAP, BN, PAS dan Bebas.

Hii mendapat 7,140 undi, Jofri Jaraiee (PAS) mendapat 413 undi dan Fong Pau Teck (Bebas) 375 undi.

Pada 16 Jun lepas, Hii memfailkan petisyen bagi mendapatkan perintah mahkamah membatalkan kemenangan Dr Ting yang didakwa mempunyai kewarganegaraan Australia setelah mendaftar sebagai pengundi di Australia.

Dalam petisyen itu, Hii menamakan Dr Ting sebagai responden dan memohon mahkamah mengumumkan keputusan PRN11 untuk kerusi DUN Pujut sebagai batal dan tidak sah serta mengisytiharkan beliau sebagai pemenang kerana mendapat undi kedua tertinggi atau diadakan pillihan raya kecil tanpa penyertaan calon DAP.

Petisyen itu difailkan mengikut Seksyen 16 dan 17(g) Perlembagaan Negeri Sarawak berkaitan kewarganegaraan yang menyebut bahawa seseorang Anggota Dewan Undangan Negeri akan hilang kelayakan sekiranya beliau secara sukarela mendapatkan kewarganegaraan sebuah negara lain.

Dr Ting diwakili Chong Siew Chiang manakala Hii oleh Peter Lin Kuan Yuh.

Selepas prosiding, Lin memberitahu bahawa pihaknya akan membuat rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Persekutuan. – Sarawakvoice