Mahathir ramal Pas catat prestasi buruk jika bersendirian dalam PRU-14

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad  mengingatkan Pas bahawa ia akan mengalami prestasi buruk jika tidak bersama-sama dengan Pakatan Harapan, sebaliknya bertanding bersendirian menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Majlis Syura Pas semalam memutuskan hubungan politik dengan PKR semalam, dan tindakan itu disifatkan Pengerusi parti Pribumi Bersatu Malaysia sebagai sebagai keliru dan mengakui sangsi dengan dasar parti Islam itu.

Pas bertegas tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan, dan kini bermusuhan bukan sahaja dengan DAP dan Amanah, tetapi PKR.

“Saya tidak tahu, saya fikir adalah sangat mengelirukan bagi Pas, kerana di satu pihak mereka tidak mahu bekerja dengan sesiapa, dan di segi lain mereka mahu bekerja dengan seseorang. Saya tidak tahu dasar mereka,” katanya.

Bagi Mahathir,  sebelum ini Pas tidak pernah memperlihatkan prestasi yang baik.

Ujarnya, jika Pas tidak bekerjasama dengan parti pembangkang lain, ia bakal berdepan kesulitan untuk meraih prestasi baik.

Pada PRU 1986 Pas hanya menang satu kerusi Parlimen, manakala ketika bersama DAP dan PKR, ia berjaya memenangi 27 kerusi pada 2013.

Setiausaha Majlis Ulamak Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh  semalam berkata,  keputusan memutuskan kerjasama dibuat kerana PKR telah banyak melanggar  syarat tahaluf siyasi berkenaan.

Antaranya ialah PKR tidak menyokong, malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa Pas seperti RUU 355, melanggar adab kerjasama, menyerang pimpinan Pas dan membuat  tuduhan palsu yang merosakkan imej parti Islam itu. – Sarawakvoice