Kerana tawar RM1500, tauke kilang bakeri di Kuching didenda RM10 ribu, makan nasi penjara

KUCHING: Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10 ribu terhadap seorang pengusaha kilang bakeri kerana menawar suapan kepada pegawai penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Tertuduh, Phang Tze Sin, 42 tahun dituduh menawarkan RM1,500 kepada Mohd Aizat Mohd Nooraini pada jam 11.30 pagi, 21 Disember lalu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya.

Terdahulu tertuduh dicekup kerana menyimpan barangan kawalan seperti tepung, gula dan minyak masak tanpa permit sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kesalahan itu dilakukan di Bakery Suria Ceria Industry Sdn Bhd di Jalan Stakan Melayu di sini sewaktu operasi khas dijayakan bersama oleh KPDNKK dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Menurut pegawai pendakwa raya SPRM, Katherine Nais, kesalahan ini memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Tertuduh yang diwakili peguam kemudian mengaku bersalah sebelum Hakim Nixon Kennedy Kumbong mengarahkan tertuduh dipenjara dua bulan sekiranya dia gagal membayar denda.

Tertuduh bagaimanapun memilih untuk membayar denda. – Sarawakvoice