Keputusan tidak demokratik, mereka silap besar — Ting Tiong Choon

KUCHING: “Keputusan ini menunjukkan Dewan ini tidak demokratik, bukan rakyatnya…tetapi pihak Barisan Nasional,” kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Pujut, Dr Ting Tiong Choon sebaik sahaja dilucutkan keanggotaannya menerusi undi 70-10 petang tadi.

Tiong Choon menjelaskan ia adalah kesilapan besar oleh dewan tersebut untuk apa yang dilaluinya.

“Kenapa tidak menghakimi saya melalui pengundi Pujut pada pilihan raya negeri akan datang?

“Kenapa hanya dengan 70 orang yang mengundi,” katanya yang kelihatan masih bingung dengan apa yang berlaku.

Turut hadir dalam sidang media khas di Pusat Media Dun Sarawak ialah Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik  (Dap) Sarawak, Chong Chieng Jen dan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Baru Bian.

“Jika mereka (BN) dapat melakukannya kepada saya, mereka juga dapat melakukannya kepada sesiap sahaja dalam kalangan pemimpin pembangkang.

“Mereka hanya menaik status di internet dan membuat pelbagai tuduhan yang menyebabkan hilang kelayakan.

“Pada saya ini tidak baik untuk persediaan proses demokratik di Sarawak.

“Ia terkebelakang 30 tahun,” sambungnya lagi, seperti yang dimuat naik dalam facebook peribadinya.

Tambahnya, beliau hanya tahu tentang usul itu sekitar jam 10 pagi tadi, ketika proses soal jawab berlangsung, dan masih terkejut dengan apa yang berlaku.

Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak pada Mei tahun lalu, Tiong Choon menang kerusi Pujut dengan majoriti 1,759 undi.

Tiong Choon memperoleh 8,899 undi menumpaskan calon BN, Hii Kong Chiong (7,140 undi), Jofri Jaraiee (Pas – 513 undi) dan penyandang, Fong Pau Teck (Bebas – 375 undi).

Beliau dituduh memiliki dwikerakyatan iaitu Malaysia dan Australia, ketika bertanding sebagai calon DAP di Dun Pujut pada Pilihan Raya Negeri yang lalu.

Kata Tiong Choon, beliau kembali ke Sarawak kerana menerima pelawaan Talent Corporation, sebelum kemudiannya memanjangkan kepakarannya kepada rakyat sebagai wakil mereka menerusi DAP. – Sarawakvoice