Kenapa Chong bangkang jika mansuh kabotaj bantu turunkan harga barang S’wak, Sabah

Ada pihak tidak duduk senang apabila mendengar Kerajaan Pusat pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Ahad lepas memansuhkan dasar kabotaj sebagaimana cadangan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Abang Johari Abang Openg.

Pada 7 Mei lepas berucap pada majlis pelancaran Ekspresi Negaraku di Padang Perbandaran Sandakan, Najib mengumumkan pengecualian dasar kabotaj kepada Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa 1 Jun depan.

Najib berkata dengan pengecualian dasar kabotaj itu, Sarawak, Sabah dan Labuan tidak lagi terikat dengan dasar yang dikenakan ke atas semua aktiviti perkhidmatan perkapalan kargo antara Semenanjung, Sarawak, Sabah dan Labuan.

Dengan pengeculian itu, sepatutnya harga barangan di Sarawak, Sabah dan Labuan menjadi lebih murah dan berharga patut.

Abang Johari Minta Mansuhkan Dasar Kabotaj

Abang Johari pertama kali mengemukakan cadangan agar dasar kabotaj dihapuskan dalam rancangan bual bicara “Bersama Ketua Menteri Sarawak” yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 dari Auditorium P. Ramlee, RTM Kuching sempena 100 hari Abang Johari menjadi Ketua Menteri Sarawak, hujung April lepas.

Rancangan tersebut turut membincangkan antara inisiatif signifikan yang dilaksanakan Abang Johari termasuk pembelian Empangan Bakun daripada Kerajaan Persekutuan, usaha menubuhkan Development Bank of Sarawak (DBOS) serta penekanan kepada keperluan kemudahan pembangunan prasarana dan perhubungan (ICT) yang lebih mantap.

Bagi Abang Johari sangat jelas bahawa pemansuhan dasar kabotaj yang mensyaratkan semua barangan import mesti melalui Pelabuhan Klang, sebagai antara cara membantu mengurangkan harga barangan di Malaysia Timur.

Hal ini bagi Sarawak dapat membantu negeri ini membangunkan prasarana asas di Sarawak dengan kos murah, memandangkan material yang digunakan ketika ini juga diimport dan dihantar menerusi Pelabuhan Klang.

Volume import bagi perdagangan antarabangsa bagi Sarawak kini lebih besar.

“Dahulu masa ada kabotaj kita tidak ada Bintulu Port dan pelabuhan kita pun tidak begitu sesuai sekarang kita sudah ada ‘containerization’, maka saya rasa masa sudah sampai untuk ‘abolish’ dan biarkan import ini datang terus ke pelabuhan Sarawak, ini boleh meringankan harga barang yang datang ke Sarawak,” katanya.

Awang Tengah Tahu Kabotaj Punca Barang Mahal

Menteri Pembangunan Perindustrian & Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika itu menyokong penuh permohonan Sarawak memansuhkan dasar kabotaj ini.

Menurut Tengah, dasar ini memudahkan pengusaha kita mendapatkan barangan import terus dari negara penjual.

Kata Tengah, dahulu alasan para pengusaha melaksanakan kabotaj berpunca daripada Sarawak kekurangan produk.

“Kalau balik dari Sarawak… kapal kosong, sebab itu caj melambung tinggi. Tetapi masalahnya, untuk sesetengah item import, peniaga kita yang dikenakan cukai berganda,” ujar beliau.

Kini, Najib sudah menunaikan permintaan Abang Johari dan Ketua Menteri berterima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana bersetuju dan menyokong permintaan Kerajaan Sarawak menghapuskan dasar kabotaj berkenaan.

Pas Sarawak, Sabah Sokong Barangan Murah

Bagi Pas Sarawak dan Sabah menyambut positif pengumumam Najib berkaitan pemansuhan dasar kabotaj ini Pesurujaya Pas Negeri Sarawak, Jofri Jaraiee menyokong penuh saranan Abang Johari tersebut

Dari segi politik, ujar Jofri, kabotaj adalah untuk mengawal had perdagangan dengan syarikat tempatan dikenali sebagai perlindungan.

Asas bagi peraturan kabotaj termasuk keselamatan negara dan keperluan untuk melindungi keselamatan awam.

Sementara di Kota Kinabalu, Pas Sabah menyambut baik pemansuhan dasar kabotaj mulai 1 Jun yang diumumkan Najib.

Pesuruhjaya Pas Sabah, Mohd Aminuddin Aling berkata dasar itu sudah lama diperjuangkan oleh pelbagai lapisan masyarakat dan parti politik kerana menyebabkan ketidakseimbagan harga barang antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

“Selain harga barang keperluan harian, dasar kabotaj ini juga telah menyebabkan harga rumah yang tinggi di negeri Sabah,” kata beliau.

Chong Bangkang Dasar Kabotaj

Bagaimanapun, seperti biasa, Pengerusi Dap Negeri, Chong Chieng Jen yang terkenal dengan politik “silat bantah”nya mendakwa Abang Johari jahil tentang kesan sebenar tindakan menghapuskan dasar kabotaj, terutama kepada industri perkapalan.

Chong berkata banyak pekerja dijangka hilang pekerjaan dalam tempoh enam bulan susulan langkah tersebut yang berkuasa kuasa 1 Jun.

Malah, menurut Ahli Parlimen Bandar Kuching itu, langkah berkenaan dijangka tidak dapat mengurangkan harga barangan import seperti jangkaan ramai.

Chong menuduh, “beliau (Abang Johari) terpisah daripada realiti dan jahil tentang kesan dasar kabotaj sejauh berkaitan dengan kesannya terhadap inustri perkapalan.”

Menurut Chong, dalam hubungan ini, Persatuan Pemilik Kapal meminta kerajaan mengkaji semula keputusan menghapuskan dasar berkenaan.

Kini terdapat 3,000 kapal didaftarkan di Sarawak, dengan 18,000 pekerja.

Persatuan terbabit dipetik media berkata, dengan langkah mengecualikan dasar berkenaan seperti diumumkan Najib menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan.

Fadillah Selar Chong Dap

Reaksi negatif Chong berhubung isu dasar kabotaj diselar oleh Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof.

Fadillah melahirkan rasa pelik kerana di peringkat Dap Sarawak mereka membantah pemansuhan kabotaj, namun di peringkat Dap Sabah, mereka menyokong termasuk industri perkapalan.

Menyokong dasar bermanfaat untuk rakyat di peringkat Pemuda PBB Negeri dan BN Fadillah kesal, “saya pun tidak faham kerana kadang-kadang kita hendak mempolitikkan sesuatu perkara, tetapi tidak berasaskan fakta…”

Fadillah mengaku pengecualian dasar kabotaj bagi aktiviti perkapalan dalam perkhidmatan kargo dari pelabuhan di Semenanjung ke Sarawak dan Sabah serta Labuan, memang menguntungkan rakyat.

Menurut beliau, penurunan kos pengangkutan secara langsung menyokong harga barangan di Sarawak dan Sabah, munasabah murah.

Bagi Fadillah, dasar baharu kabotaj tersebut mampu memberi kesan positif kepada Lebuh Raya Pan Borneo kerana sistem jalan darat itu membantu mempercepat penghantaran dan mengurangkan kos pengangkutan ke seluruh daerah di Sarawak.

Lebuh Raya Pan Borneo empat lorong menjadikan pergerakan kenderaan lebih cepat, singkat dan selesa sekali gus mengurangkan kos pengangkutan membantu mengurangkan harga barangan walaupun di pedalaman.

Bagi Fadillah Dap hanya mahu mempolitikkan semua perkara, tetapi gagal melihat kepada fakta.

Dasar Kabotaj diperkenal pada tahun 1981 bagi memastikan barangan import diturunkan secara sentralisasi di pelabuhan besar seperti Pelabuhan Kelang sebelum diagihkan kepada kapal tempatan, untuk perjalanan ke Sabah, Sarawak dan beberapa lokasi lain.

Situasi ini menyebabkan pengguna akhir di negeri terlibat terpaksa membayar harga lebih tinggi untuk sesuatu barangan, berikutan kos pengangkutan yang meningkat.

Justeru, apabila kerajaan menghapuskan dasar ini, kapal kargo besar boleh menurunkan kargo mereka terus di Pelabuhan Sarawak, Sabah dan Labuan.

Secara teorinya, harga barangan akan menjadi lebih murah dan kos efektif.

Bagi Abang Johari sendiri perancangan 100 hari pemerintahnnya bukan hanya angan-angan kosong, semua inisiatif yang diumumkan di Sarawak sudah dibuat perkiraan wajar.

Abang Johari menyangkal dakwaan tidak berasas Dap yang mengatakan semua inisiatif yang diumumkan beliau untuk dilaksanakan dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang hanya “angan-angan kosong”.

“Saya sudah membuat perkiraan dalam tempoh empat tahun inisiatif ini akan dilaksana,” tegas Abang Johari.

Bagi Abang Johari perancangan beliau bukan cakap kosong kerana secara teknikal, inisiatif yang beliau rancang sudah bermula.

Dengar Kata Uggah

Kepada Chong, perlu mendengar apakah yang diperkatakan Pemangku Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang menggertak pembangkang agar tidak mencabar Abang Johari kerana ahli PBB dan BN Negeri setia di belakang beliau.

Uggah merangkap Timbalan Ketua Menteri berucap pada Perhimpunan PBB Jasamu Dikenang di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) menyifatkan Abang Johari Ketua Menteri yang jelas wawasannya memacu pembangunan Sarawak.

Menurut beliau, sepanjang 100 hari Abang Johari menjadi Ketua Menteri, beliau berjaya menggegarkan Bumi Kenyalang ini dengan prestasi cemerlang.

Abang Johari disifatkan sebagai pemimpin yang mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan, berani serta tegas menyuarakan kepentingan Sarawak. – Sarawakvoice