Kem Lanang mulakan pembinaan tahun ini — Sabtu

SRI AMAN: Ketidakselesaan pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion ke-10 menghuni kem usang bakal berakhir apabila projek naik tarafnya dijangka bermula pada tahun ini.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Mohammad Sabtu Osman berkata, kelulusan projek Kem Lanang bernilai RM200 juta itu telah diperoleh dan diharapkan pembinaannya akan disegerakan.

“Kem Lanang adalah kem PGA yang masih daif dan usang, berbanding kem-kem lain di seluruh negara,” katanya selepas merasmikan Kem Kompeni C di sini.

Kem yang diwujudkan sejak era Zon Keselamatan Kawasan Rajang atau Rascom itu begitu daif , malah berhadapan masalah banjir setiap kali air Batang Rajang naik tinggi.

Sabtu yang akan bersara kurang dua bulan memberitahu, anggota PGA harus mendapat pembelaan dari segi kebajikan, agar mereka dapat memberikan tumpuan kepada penugasan.

“Ini termasuk penumpuan terhadap tugas seharian di sempadan. Mereka bertanggungjawab memastikan tiada penyeludupan dan pencerobohan ke negara ini,” katanya lagi.

Sabtu berkata, kejayaan melaksanakan ketenteraman awam di negara ini pada hari ini didorong oleh kerjasama dan sinergi pelbagai pihak.

“Di peringkat dalaman, kita menjalinkan sinergi yang akrab dengan pihak Angkatan Tentera, Kastam, Imigresen dan sebagainya.

” Manakala di peringkat luar, kita mempunyai hubungan baik dengan rakan sejawat dari Indonesia, Brunei malah Thailand,” katanya lagi.

Kerana itulah tegasnya, negara dapat berjalan dengan aman dan damai.

“Saya hanya khuatir akan tindakan rakyat kita sendiri yang cenderung mencetus huru-hara dengan menimbulkan provokasi melampau, berbaur rasis menerusi media sosial.

” Ini yang akan menjadikan negara dalam keadaan anarki,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice