Dr Ting digugur sebagai wakil rakyat  DAP Pujut

KUCHING: Dr Ting Tiong Choon  digugurkan  sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Pujut hari ini kerana memegang kewarganegaraan Australia.

Usul itu diluluskan menerusi pengundian yang menyaksikan 70 wakil rakyat menyokong penyingkiran Ting, manakala 10 yang lain menentangnya.

Usul pelucutan tersebut dibentangkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang, Datuk Seri Wong Soon Koh pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, hari ini.

Sebelum pengundian dibuat, Wong mendakwa beliau mempunyai bukti konkrit bahawa  Dr Ting menerima kewarganegaraan Australia pada 20 Januari, 2010.

“Status keahlian Adun Pujut kini digugurkan berdasarkan Perkara 17 (1) (g) Perlembagaan Negeri, kata  Speaker DUN, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar.

Pada pilihan raya negeri lalu, Dr Ting memperoleh 1,759 undi majoriti mengalahkan calon langsung BN, Hii King Chiong, calon Pas, Jofri Jaraiee, dan calon Bebas, Fong Pau Teck.

Hii sebelum ini memfailkan petisyen pilihan raya terhadap  wakil DAP itu, tetapi Mahkamah Pilihan Raya menolak kes itu atas alasan teknikal tahun lalu.

Pilihan Raya Kecil dijangka dijalankan di kawasan berkenaan dalam tempoh 60 hari.

Pada sidang akhbar yang disiarkan di laman Facebook DAP Sarawak, Ting berkata bahawa beliau tidak pernah hilang kerakyatan negara ini. – Sarawakvoice