Tengku Adnan: Umno akan terus mantap

KUALA LUMPUR: Umno akan terus mantap kerana sokongan ahli parti dan sebahagian besar bangsa Melayu, kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Sokongan yang diberi ini bukan sahaja oleh ahli-ahli Umno tetapi juga oleh bangsa Melayu yang sedar bahawa kejayaan mereka ini adalah kerana Umno yang mempunyai hala tuju ke arah pembangunan bukan sahaja kepada bangsa sendiri tetapi juga rakyat Malaysia,” katanya.

Umno, menurut beliau,  ditubuhkan untuk memastikan bangsa Melayu, agama Islam dan negara ini terjaga dengan baik.

“Kita harus bersyukur kepada Allah SWT oleh kerana kepintaran kepimpinan kita dahulu maka kita telah mencapai kemerdekaan tanpa menumpahkan darah warganya sendiri, hanya ada sedikit masalah dengan komunis tetapi itu pun telah dapat kita selesaikan,” jelasnya dalam temu bual dengan  Umno Online sempena Ulang Tahun Umno ke-71 tahun.

“Apa yang kita capai hari ini adalah kerana Umno, yang menjadi tulang belakang kerajaan, dahulu parti Perikatan tetapi kini Barisan Nasional…Tiada sebuah parti selain Umno yang akan memastikan masa depan agama, bangsa dan negara,” ujarnya.

“Yang penting sekali ialah hala tuju Umno, masih kekal seperti tujuan penubuhannya kerana kita mempunyai Perlembagaan dan asas-asas dalam Perlembagaan itu telah kita tunaikan. Kita mempunyai landasan, hala tuju dan matlamat yang ingin kita capai.

Umno mengadakan ulang tahun ke-71 di Stadium Nasional Bukit Jalil  Khamis. – Sarawakvoice