Selepas 54 tahun Sarawak merdeka, penduduk Kampung Nelayan Kuala Bakam, masih mandi dan minum air telaga

Kampung Nelayan Kuala Bakam terletak 20 kilometer dari bandar raya Miri dan boleh dihubungi melalui jalan pesisir Miri Bintulu. Kampung ini terkenal dengan ikan segar dan harga yang perpatutan.

Terletak di sebelah kiri muara Sungai Bakam, kampung ini diterokai  kaum Melanau dari Kampung Tellian, Kampung Jebungan dan Kampung Teh, Mukah sejak lewat tahun 1950-an.  Nadi kehidupan mereka adalah bersandar kepada laut. Mereka ialah nelayan yang kental walaupun dilambung ombak dan dikasari angin ribut laut.

Kampung yang mereka terokai pada mulanya ialah tanah kerajaan dan selepas bertahun menetap di sini baharulah mereka sedari bahawa tanah di sini sudah dimiliki oleh individu tertentu.

Sebahagian daripada penduduk di sini telah dipindahkah ke satu penempatan yang baharu lebih sepuluh tahun lalu.

Kini tinggal 30 buah keluarga yang masih menetap di sini. Sehingga kini mereka ialah setinggan yang menduduki tanah persendirian, maka Kampung Nelayan berstatus kampung setinggan walaupun telah wujud  60 tahun lalu.

Walaupun Kampung Nelayan Kuala Bakam ini sebuah kampung setinggan namun kerajaan masih memberi bantuan kepada penduduk.

Mereka dibekalkan kuasa elektrik walaupun tidak dibekalkan air bersih. Penduduk di sini terpaksa mandi dan minum air telaga sejak sekian lama. Bagi mereka yang ada saudara di seberang sungai maka mereka boleh menyambung air bersih dari rumah sanak saudara mereka.

Kerajaan telah membina Pasar Nelayan untuk memudahkan penduduk menjual terus hasil tangkapan mereka kepada pembeli.

Beberapa projek seperti jambatan kayu telah siap pada tahun 2013. Balai Raya Serba guna juga dijangka siap pada hujung tahun ini.

Agensi kerajaan juga telah mengadakan program seperti Program Sahabat Maritim pada 2016.

Rata-rata penduduk di Kampung Nelayan Kuala Bakam adalah penyokong tegar kerajaan. Kami sempat bertemu bual dengan seorang penduduk, Jabar  Ngang yang telah menetap di sini sejak 1961.

”Kami di sini ada satu impian yang belum tertunai,” kata Jabar.

“Kami berbesar hati agar kerajaan dapat memberi lot tanah agar mereka dapat berpindah dari sini. Berpindah ke tempat yang sesuai dan tidak jauh dari muara sungai Bakam. Kerana rata-rata kami di sini adalah nelayan. Buat masa ini kami tidak pasti apakah perancangan kerajaan untuk masa depan kami di sini,” ujarnya.

Begitulah keluhan Jabar, resah tapi masih menaruh harapan. Mereka berharap masalah ini dipandang serius oleh kerajaan dan tidak berlarutan hingga ke generasi anak cucu mereka untuk diselesaikan.

Bagi seorang penduduk yang perhatin tentang pencemaran, Wahab bin Ram, dia meminta agar kerajaan memasang perangkap sampah di muara sungai agar Sungai Bakam menjadi bersih.

Wahab memohon agar penduduk lebih prihatin tentang kebersihan dan pencemaran sungai dan meminta kerjasama agar mereka tidak membuang sampah ke dalam sungai. – Sarawakvoice