Presiden baharu Korea Selatan kunjungi ibu pejabat parti pembangkang

SEOUL: Presiden Moon Jae-in yang mengangkat sumpah Rabu, berjanji untuk melawat Pyongyang jika syarat-syarat tertentu dipenuhi bagi meleraikan kebuntuan rancangan nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.

Dalam perutusan kepada rakyatnya dari Dewan Rakyat, beliau juga mengumumkan akan mengunjungi Washington secepat yang mungkin, jika perlu.

Bagi menangani isu keselamatan di Semenanjung Korea, Moon selepas mengangkat sumpah berkata: “Saya akan terbang ke Washington, Beijing dan Tokyo secepat mungkin jika perlu. Dan saya akan ke Pyongyang jika syarat-syarat dipenuhi. Saya akan lakukan apa yang terdaya untuk keamanan di Semenanjung Korea,”  katanya seperti dipetik Korea Times.

Awal tahun ini,  Moon berkata, beliau akan mengunjungi Pyongyang terlebih dahulu, sebelum ke  Washington dan kenyataan itu telah dibidas pesaingnya yang mendakwa beliau memihak kepada Korea Utara.

Namun, Moon kemudiannya memberi penjelasan lanjutan, yang dimaksudkan ialah beliau hanya akan ke Pyongyang selepas perbincangan mendalam dengan Amerika Syarikat dan Jepun bagi membincangkan isu berkaitan Korea Utara.

Berbeza daripada Presiden terdahulu, pada awal Rabu, Moon melawat empat pemimpin parti pembangkang  —Parti Pembebasan Korea, Parti Bareun, Parti Rakyat dan Parti Keadilan.

Ia merupakan kunjungan pertama kali dilakukan Presiden ke ibu pejabat parti pembangkang, sebagai langkah penyatuan rakyat sesudah tercetusnya perpecahan antara pihak konservatif dan liberal  menjelang pilihan raya.

Moon  memberitahu media bahawa beliau akan berhubung dan berunding dengan pembangkang sebagai “rakan” dalam mengurus negara itu sepanjang tempoh lima tahun beliau menjadi Presiden. – Sarawakvoice