Polis Sabah selesai drama penculikan, lelaki acu pisau ke leher mangsa

KOTA KINABALU: Tindakan cekap pasukan polis berjaya menyelamatkan seorang wanita yang menjadi tebusan seorang lelaki di Jalan Damai dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian penuh dramatik itu, suspek yang tidak berbaju dilihat sedang mengacukan pisau ke leher mangsa, sambil mengheretnya ke tengah jalan.

Pasukan polis kemudian bertindak mengepung jalan tersebut, sementara perunding cuba menenangkan situasi dan memujuk suspek melepaskan tebusan.

Suspek dipercayai melarikan tebusan dari rumahnya di Jalan Harrington berhampiran Restoran Luyang menuju Jalan Damai, dekat sini sekitar jam 7.30 malam.

Selepas dua jam aksi penahanan berlangsung, sekitar jam 9.36 malam, Unit Tindak Khas polis mencipta elemen kejutan sebelum menyerbu suspek, menumpas sebelum memberkasnya.

Wanita terbabit berjaya dibebaskan sebelum diberi rawatan medan oleh pasukan paramedik.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superitendan George Abdul Rahman turut berada di lokasi.

Motif penculikan serta identiti suspek dan mangsa masih belum dikenal pasti. – Sarawakvoice