Pas dijangka lafazkan cerai dengan PKR hari ini

KOTA BHARU:  Adakah perceraian antara Pas dengan PKR akan dilafazkan dimuktamadkan pada hari ini?

Nasib kedua-dua parti itu ditentukan oleh Majlis Syura Ulamak,  pembuat keputusan tertinggi Pas, yang bermesyuarat hari ini.

Dalam mesyuarat itu dijangka bincangkan kerjasama antara parti Islam itu dengan PKR yang  bukan sahaja memberi kesan terhadap kerajaan Selangor tetapi landskap pilihan raya umum (PRU) ke-14.

“Majlis syura ulama akan bermesyuarat esok dan mungkin perkara itu akan turut dibincangkan,” ujar Timbalan Mursyidul Am, Datuk Ahmad Yakob.

Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata,  tidak menjadi halangan untuk PKR kembali bekerjasama dengan Pas untuk ke arah kebaikan, namun ia perlu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Syura Ulama itu nanti.

Ahmad berkata demikian selepas merasmikan majlis pecah tanah bangunan wakaf Raudhatul Barakah, di Beta Hilir, dekat sini, semalam.

Timbalan Presiden PKR Datuk Azmin Ali beberapa hari lalu, mengajak Pas supaya bersama kembali dengan mereka bagi menghadapi PRU-14.

Azmin dalam kenyataannya semalam memberitahu, semua parti pembangkang perlu bermuhasabah diri atas kekalahan teruk pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak semalam.

Menurut Azmin lagi, apa yang jelas rakyat di negeri itu menolak pertelingkahan sesama mereka.

Mengulas kerajaan Selangor mengekalkan jawatan anggota exco dari PAS sehingga PRU 14 akan datang Ahmad seterusnya memberitahu ia wajar dilakukan.

Ini kerana, katanya mereka dipilih oleh rakyat dan diperkenankan oleh Sultan Selangor sendiri.

Sebelum ini, Muktamar Pas ke-63 di Alor Setar menerima usul supaya  kerjasama dengan PKR diputuskan.

PKR  dilihat menikamnya dari belakang dalam beberapa perkara, termasuk menerima parti serpihannya, Amanah serta mengkritik Pas dengan teruk. – Sarawakvoice