FAM tidak setuju Harimau Malaya ke Pyongyang – TMJ

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah baginda tidak bersetuju pasukan bola sepak kebangsaan ke Pyongyang bagi perlawanan Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2019 pada 8 Jun ini.

Tunku Ismail bertitah baginda memandang serius isu keselamatan pemain-pemain negara dan FAM berada dalam keadaan sukar untuk melepaskan pemain beraksi pada perlawanan tersebut kerana situasi kurang meyakinkan di Korea Utara itu.

“Saya selaku Presiden FAM amat mengambil berat berkenaan isu keselamatan pemain-pemain negara dan agak sukar bagi saya sebenarnya dalam situasi ini untuk melepaskan mereka ke sana. Sekiranya FAM tidak melepaskan Harimau Malaya pergi ke perlawanan tersebut di Pyongyang, Korea Utara akan diberikan kemenangan percuma 3-0.

“Tambahan lagi kita juga akan didenda sehingga US$50,000 dan akan disingkirkan daripada pertandingan piala kelayakan di Asia. Lebih membimbangkan adalah besar kemungkinan juga kita akan disingkirkan daripada mana-mana perlawanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada masa akan datang.

“Persoalannya ialah apa yang harus kita lakukan? Saya sememangnya mahukan perlawanan ini diadakan di venue neutral demi keselamatan para pemain negara,” titah baginda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan FAM hari ini.

 

Tunku Ismail berkata baginda khuatir dengan masalah jaminan keselamatan serta layanan kemudahan penginapan dari segi tempat tinggal dan makanan di sana kerana baginda mendapat maklumat daripada beberapa jurulatih yang pernah ke negara itu memberitahu situasi di sana agak teruk.

“Ini disebabkan kerana salah satu maklumat yang saya terima mengatakan kami perlu membawa makanan sendiri oleh kerana isu sabotaj.

“Seperkara lagi adalah berkenaan masalah mutu pengadilan di sana kerana sekiranya terdapat keputusan yang tidak menyebelahi Korea Utara pastinya keselamatan pengadil akan terjejas sekali gus membuatkan pengadil tersebut akan tertekan,” jelasnya.

Baginda berkata sehingga kini, kerajaan Malaysia tidak ada mengeluarkan sekatan perjalanan cuma nasihat mengenai perjalanan (travel advisory) dan itu tidak mencukupi untuk AFC menukarkan venue perlawanan asal ke venue neutral.

Biarpun baginda tidak bersetuju untuk skuad negara ke Pyongyang namun keputusan tersebut terletak pada kerajaan dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

“Bagi saya keutamaan adalah keselamatan rakyat Malaysia. Kami harus membuat keputusan untuk meletakkan keselamatan rakyat sebagai agenda pertama dan bukan membuat keputusan berdasarkan situasi politik. Perkara ini terletak kepada apa kerajaan Malaysia dan penyokong bola sepak tanah air inginkan,” katanya. Bernama