Dua konsesi tol muflis, satu minta distruktur semula — Fadillah

KUCHING: Sekurang-kurangnya dua syarikat konsesi tol di negara ini berhadapan risiko muflis dan memohon pengambilalihan oleh kerajaan dalam menguruskan laluannya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusuf berkata, sebuah lagi syarikat telah memohon untuk proses penstrukturan semula.

“Keadaan ini disebabkan oleh pelbagai masalah, dan untuk tujuan tersebut, kerajaan terpaksa melaksanakan intervensi bagi memastikan laluan yang terlibat tidak berhadapan masalah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Geran Aktiviti kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan di sini pagi tadi.

Fadillah berkata, ketika ini hanya lima laluan lebuh raya di negara ini yang mencatatkan keuntungan.

“Yang lain sama ada cukup makan, ataupun rugi. Yang bankrap pun dah ada.

Katanya, meski melakukan intervensi dengan mengambil alih laluan, kerajaan tidak akan membantu atau campur tangan dalam pengurusan syarikat.

“Ini kerana risiko kerugian adalah tanggungan pihak konsesi sendiri.

Pada masa yang sama katanya, kerajaan kini sedang mengkaji semula sistem tol di seluruh negara bagi mencari mekanisme baharu pelaksanaannya.

“Ini untuk mencari jalan agar pihak konsesi tidak menaikkan harga secara automatik, selepas tiga, lima dan tujuh tahun, yang termaktub dalam perjanjian sebelum ini.

Sebaliknya kata Fadillah lagi, sebelum kenaikan berlaku, pihak konsesi perlu membentangkan laporan kewangan, laporan aliran trafik sebenar bagi menilai justifikasi kenaikan kadar.

“Kenaikan kadar tidak akan dibenarkan jika pihak konsesi telah mencapai sasaran trafik yang dijangkakan, ” tambahnya lagi. – Sarawakvoice