Dayang Nurfaizah dapat penghormatan nyanyi lagu tema Sukan SEA Ke-29

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengumumkan penyanyi lagu Lelaki Teragung, Dayang Nurfaizah Awang Dowty kelahiran Kuching, Sarawak mendapat penghormatan menyanyikan lagu tema Sukan SEA Ke-29 dan Sukan Para Asean Ke-9 atau Kuala Lumpur 2017.

Menurut Khairy, lagu gubahan komposer Datuk Ramli MS itu memerlukan idea untuk gubahan lirik daripada sumbangan rakyat Malaysia.

Penyumbang lirik boleh menyertainya di laman sosial Twitter, Facebook dan Instagram dengan hashtag #laguKL2017.

Khairy sebelum itu melancarkan majlis kiraan detik 100 hari menjelang penganjuran Kuala Lumpur 2017 pada Selasa.

Memetik Bernama, Khairy berharap penglibatan seluruh rakyat Malaysia dalam pembikinan lagu tema itu dapat menyemarakkan lagi penganjuran Sukan SEA dari 19-30 Ogos dan Sukan Para Asean dari 17-23 September depan.

Dayang Nurfaizah terkenal dengan lagu Di Pintu Syurga dan Erti Hidup.

Hujung Januari lepas, Dayang Nurfaizah memenangi Anugerah Juara Lagu Ke-31 menerusi lagu Lelaki Teragung, selain turut memenangi kategori Vokal Terbaik

Khairy bersama lebih 20 atlet negara menaiki bas dua tingkat dari stesen LRT Bangsar menuju KL Sentral sebagai gimik majlis tersebut.

Meraikan peranan selaku tuan rumah menganjurkan Kuala Lumpur 2017, orang ramai diajak terlibat meraikan kiraan detik 100 hari menjelang temasya sukan dwitahunan tersebut. – Sarawakvoice